PRK Kimanis: Tolak Budaya Samseng, Kempenlah Secara Berhemah – Datuk Moh

KIMANIS, 7 Jan – Calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin mengingatkan semua pihak agar berkempen secara sihat dan tidak mengamalkan budaya politik yang tidak sepatutnya.

Menurut beliau kejadian petang semalam walaupun pihak lawan bertanya secara sopan, namun ianya satu perkara yang tidak sepatutnya berlaku dan semua pihak sewajarnya harus berkempen secara sihat.

“Apabila saya mahu memasuki satu kawasan di persimpangan adalah jentera dia orang, ‘walkie-talkie’ sekali tahan kereta. Mereka tanya mahu pergi mana dan apabila saya buka cermin terus mereka terperanjat. Saya cakap saya nak masuk jumpa pengundi-pengundi di dalam.

“Mereka bagi jugalah sebab saya calon dan cuba bayangkan kalau saya bukan calon adakah mereka benarkan atau tidak. Jadi ini adalah salah satu insiden atau perkara yang tidak perlu dilakukan dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi yang aman,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Moh seterusnya mengingatkan semua pihak agar sama-sama berkempen dan bertanding secara sihat.

“Jadi saya ingat janganlah kita amalkan budaya politik yang samseng dan yang agresif. Kita di Sabah ini budayanya berlainan dan kita mengalu-alukan sekiranya semua parti yang terlibat dalam PRK ini bertanding secara sihat.

“Jnganlah kita mencetuskan apa-apa perkara yang boleh mengakibatkan kekecohan dan perkara- perkara yang lagi buruk akan berlaku. Itu mungkin baru permulaan.

“Bayangkan mereka bukan seorang polis, tidak mempunyai kuasa kereta tanya nak pergi mana. Walaupun tanya dengan sopan mungkin saya calon… cuba bayangkan kalau saya bukan calon tidak tahulah pula bagaimana mereka bertanya. Jadi saya menyeru kepada semua parti politik untuk kita berkempen secara sihat dan secara berhemah,” ujarnya lagi.

Tempoh berkempen bagi PRK Kimanis bermula pada 4 Jan lalu selepas penamaan calon dan hari pengundian akan berlangsung pada 18 Jan depan. – UMNO Online