PRK Kimanis: Kita Mesti ‘Ubah Balik’, Janji PH Semua Khayalan, Tipu – Alex

KIMANIS, 7 Jan – Peserta Maharaja Lawak 2011, Alex Ahad berkata kerajaan hari ini iaitu Pakatan Harapan (PH) dengan Parti Warisan di Sabah penuh dengan khayalan dan janji-janji manis sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu adalah tipu semuanya.

Katanya, rakyat Sabah merasa kesal dan kecewa prestasi kerajaan Warisan dengan permasalahan yang semakin meningkat terutamanya kos ekonomi rakyat dan terbukti bahawa Barisan Nasional (BN) lebih bagus memerintah berbanding kerajaan hari ini.

“Sekarang ini kita kena ubah balik. Dulu mereka kutuk kerajaan dulu tidak bagus tapi masih senang cari duit sedangkan sekarang ini lagi teruk… ekonomi pun susah, cari makan pun susah… kerajaan ini betullah ‘tipu’.

“Sudah setahun lebih memerintah tapi makin teruk. Jadi kita mahu berubah untuk lebih bagus kerana sekarang makin lama makin teruk… kita mesti ‘bising’ dan ‘gegar’ kerajaan sekarang dan jangan bagi mereka (PH) senang,” katanya semasa Diskusi PRK (P176) Kimanis anjuran Penerangan UMNO Malaysia, malam tadi.

Beliau berkata, rakyat Sabah sudah merasa perbezaan antara pentadbiran BN dan PH, maka sekarang tiba masa untuk beri ‘isyarat’ bahawa apa yang berlaku ini semuanya tidak betul.

“Rakyat Kimanis harus tunjukkan kepada PH bahawa kita menyokong BN. Biar rakyat satu Malaysia tahu bahawa kita tidak setuju apa yang kerajaan buat sekarang ini.

Alex yang juga peserta Raja Lawak 2010 turut menambah semasa zaman BN segala segi begitu mudah terutama sekali anak-anak muda untuk mencari pekerjaan mahupun melanjutkan pelajaran di peringkat tertinggi.

“Kalau kerajaan dulu, pilihan kerja cukup banyak dan terpulang kepada pemuda saja sama ada mahu belajar atau bekerja… di Sabah atau di Semenanjung… di Sabah pun ada tempat belajar dan peluang mencari pekerjaan itu banyak, terserah saja kepada kita untuk memilih kerana dulu semua cabang boleh buat.

“Ini berbeza dengan sekarang walaupun ada kelulusan tapi sekarang ini semuanya ‘mati’ dan tiada jalan. Kerajaan sekarang ini semuanya ‘memotong’ kehendak anak muda apa lagi dalam keadaan ekonomi tidak bagus. Sekarang ini saya lihat cukup sedih”

Jelasnya yang merupakan graduan bidang ekonomi dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) menekankan bahawa kerajaan sekarang ini tidak mendengar rintihan anak muda yang mahukan perubahan ke arah lebih baik.

“Anak-anak muda mahu masuk jabatan kerajaan pun merasa takut kerana dipotong imbuhan-imbuhan dari kerajaan sedangkan kalau dulu tidak. Anak muda telah tertipu khusunya dengan janji kononnya nak hapus hutang PTPTN tapi sekarang mana ada”

Justeru tegasnya, apa yang dijanjikan PH adalah penipuan dan PRK ini adalah peluang kepada rakyat untuk tunjukkan penolakan dengan ‘ubah balik’. – UMNO ONLINE

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.