Kertas Putih Pertahanan Tidak Berfokus, Tiada Kesinambungan, Hanya Sekadar ‘Wish List’ – Hishammuddin

KUALA LUMPUR, 2 Dis – Bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kecewa melihat Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang tidak berfokus, tiada kesinambungan dan hanya sekadar ‘wish list’.

Ujar Ahli Parlimen Sembrong itu ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini, sebagai mantan menteri, adalah menjadi tanggungjawab baginya untuk melakukan semak dan imbang terhadap intipati KPP tersebut apatah lagi perkara yang menyentuh soal pertahanan dan kebajikan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta hala tuju kementerian yang menyentuh kepada kedudukan dan keselamatan tanah air kita untuk sepuluh tahun akan datang.

“Walau bagaimanapun selepas saya menyemak kandungan KPP yang telah diedar kepada wakil-wakil rakyat hari Khamis dan selepas mendengar pembentangan menteri sendiri tadi saya rasa agak kecewa dan bimbang atas beberapa sebab.

“Pertamanya intipati KPP hanyalah versi ringkas apa yang telah dibentangkan sebelum ini oleh kita semasa Barisan Nasional (BN) memerintah dan mentadbir. Bezanya buku ikrar Kementerian Pertahanan pada ketika itu memperincikan pelbagai bentuk inisiatif yang akan dilaksanakan di bawah enam teras Kementerian Pertahanan.

“Manakala KPP pula walaupun dokumen perancangan pertahanan negara untuk sepuluh tahun, tidak pula memperincikan perancangan Kementerian Pertahanan untuk tahun 2021 hingga 2030 iaitu perkara yang cukup penting dalam hendak memikirkan apa yang dibentangkan kertas putih ini dapat memberi keyakinan kepada semua yang membacanya dan memberi satu hala tuju yang jelas pihak-pihak yang berkepentingan khususnya warga ATM, veteran, Mindef dan keluarga masing-masing,” katanya.

Jelasnya juga intipati KPP tidak berfokus dan tiada kesinambungan yang jelas dalam bab empat misalnya, hanya dimasukkan ‘wish list’ aset ATM bagi tempoh sepuluh tahun mendatang.

“Tetapi apabila diselak bahagian pelaksanaan KPP tidak pula diperincikan kaedah kerajaan untuk melaksanakan perolehan aset-aset ini.

“Perancangan untuk membina sesuatu aset pertahanan mengambil lebih lima hingga lapan tahun. Ini boleh menjejaskan hala tuju dan fokus, bukan sahaja keyakinan daripada rakyat tetapi daripada warga ATM itu sendiri,” tambahnya.

Dalam sesi perbahasan tersebut, Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam celahannya berkata KPP tiada ‘wow factor’ atau impak untuk memberi harapan bukan sahaja kepada warga ATM tetapi kepada negara dan ia amat disetujui oleh Hishammuddin. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.