“Rumah Bangsa” Terus Tarik Sokongan, Lebih 21 Ribu Sertai UMNO – Kalsom Noordin
KUALA LUMPUR, 13 Jun – UMNO terus menunjukkan momentum positif apabila berjaya merekodkan kemasukan lebih 21,000 ahli baharu di seluruh negara dalam tempoh kurang dua bulan sejak pendaftaran keahlian secara dalam talian dibuka.
Ketua Wanita UMNO Negeri Melaka, Datuk Kalsom Noordin berkata, perkembangan tersebut membuktikan keyakinan rakyat terhadap perjuangan UMNO yang terus kekal relevan dalam landskap politik negara.
Menurutnya, sejak pendaftaran keahlian secara atas talian dibuka secara rasmi pada 20 April lalu sehingga Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 10 Jun, parti itu terus menerima sambutan yang amat memberangsangkan daripada pelbagai lapisan masyarakat.
“Sejak secara rasmi pendaftaran secara atas talian dibuka pada 20 April 2026, sehingga Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO 10 Jun 2026, dalam tempoh tidak sampai dua bulan.
“Pendaftaran ahli baharu dan kemasukan kembali bekas-bekas pimpinan dan ahli-ahli parti UMNO termasuk pimpinan parti Bersatu seluruh Malaysia berjumlah 21,858.
“Moga Allah berkati dan rahmati “Rumah Bangsa” ini yang banyak jasanya dalam mencorakkan dan memartabatkan agama, bangsa dan tanah air sepanjang lapan dekad di persada perjuangan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki telah memaklumkan seramai 21,858 kemasukan ahli baharu dicatatkan dalam tempoh kurang dua bulan sejak sistem pendaftaran atas talian diperkenalkan.
Penyertaan tersebut termasuk keahlian baharu dan penyertaan semua bekas pemimpin UMNO yang sebelum ini bersama PPBM.
Malah Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO 2025 mengumumkan gagasan ‘Rumah Bangsa’. Ia merupakan satu pendekatan baharu yang menzahirkan UMNO sebagai wadah perjuangan yang terbuka, inklusif dan mampu menyatukan seluruh keluarga besar parti.
Rumah Bangsa membawa mesej bahawa UMNO sentiasa mengalu-alukan kepulangan bekas ahli serta penyertaan generasi baharu yang ingin bersama-sama meneruskan perjuangan demi agama, bangsa dan negara. – UMNO Online
