Institusi Diraja Adalah Payung Kedaulatan Negara, Bukan Bahan Jenaka
KUALA LUMPUR, 12 Jun – Mantan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menyuarakan kebimbangan berhubung penghinaan terhadap institusi diraja yang menurutnya semakin berleluasa dan membimbangkan.
Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras berkata tindakan segelintir pihak yang secara terbuka memperlekeh dan mencabar institusi diraja menunjukkan mereka sudah hilang rasa hormat terhadap sistem kenegaraan serta undang-undang negara.
“Siri penghinaan terhadap institusi diraja kebelakangan ini nampaknya semakin keterlaluan dan menjadi-jadi.
“Mereka seolah-olah sudah hilang rasa hormat dan langsung tidak takut dengan undang-undang,” katanya menerusi satu hantaran di Tiktok.
Melihat kepada situasi yang semakin berpanjangan ini, beliau mendesak PDRM untuk bertindak tegas dalam mengendalikan kes seperti ini.
Menurut Syed Ali ini kerana ia perlu menjadi pengajaran kepada semua pihak agar tidak mempermainkan perkara yang menyentuh asas kestabilan dan keharmonian negara.
“Ambil tindakan serta-merta, tangkap dan ambil tindakan paling drastik tanpa perlu dolak-dalik lagi.
“Institusi Diraja adalah payung kedaulatan negara, bukan bahan jenaka atau alat provokasi murahan.
“Sesiapa yang berani mencabar maruah ini, bersedialah untuk terima padahnya,” ujar beliau. – UMNO Online
