Hentikan Naratif Burukkan UMNO, Nilai Berdasarkan Fakta – Sharif Musa

LAHAD DATU, 12 Jun – Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul menempelak pihak yang terus-menerus menyerang UMNO serta kepimpinan parti dengan mengaitkannya kepada pelbagai persepsi negatif, termasuk hubungan dengan Dap dan isu-isu yang telah lama dimainkan oleh lawan politik.

Menurut beliau, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bukanlah liabiliti politik yang memusnahkan parti sebagaimana didakwa sesetengah pihak.

Sebaliknya, tegas beliau realiti politik menunjukkan Ahmad Zahid masih berjaya mengekalkan kedudukan sebagai Presiden UMNO, membawa parti menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan serta memastikan UMNO terus relevan dalam percaturan politik negara setelah kejatuhan Barisan Nasional (BN)

“Ini membuktikan bahawa persepsi yang dibina atas motif politik dan dendam peribadi tidak semestinya mencerminkan realiti politik sebenar yang berlaku dalam negara,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa terdapat pihak yang berhujah seolah-olah pengundi membuat pilihan semata-mata berdasarkan pertimbangan moral sedangkan hakikatnya, jika perkara itu benar, ramai pemimpin politik daripada pelbagai parti sudah lama ditolak oleh rakyat.

“Realitinya, pengundi menilai banyak faktor termasuk kepentingan rakyat, prestasi pentadbiran, kestabilan politik, ekonomi, kos sara hidup serta kemampuan sesebuah gabungan untuk mentadbir negara dengan berkesan,” ujarnya.

Sharif Musa menegaskan bahawa sokongan yang masih diterima UMNO membuktikan rakyat membuat penilaian yang lebih menyeluruh terhadap kepimpinan dan hala tuju negara.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak yang sering mengkritik UMNO, supaya berhujah secara lebih matang dan berasaskan fakta.

“Matang sikit bila berhujah. Hakikatnya, pengundi tidak mengundi berdasarkan satu isu sahaja. Mereka menilai kestabilan kerajaan, ekonomi, kos sara hidup, prestasi pentadbiran dan kekuatan gabungan politik. Sebab itu ramai pemimpin di seluruh dunia yang berdepan pelbagai kontroversi tetap berjaya memenangi pilihan raya,” katanya lagi.

Mengulas isu perundangan yang sering dijadikan bahan serangan terhadap Presiden UMNO, beliau menegaskan bahawa prinsip asas dalam sistem perundangan ialah seseorang dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah oleh mahkamah.

“Justeru, semua pihak perlu memahami fakta undang-undang dengan tepat sebelum membuat tuduhan atau kesimpulan yang mengelirukan masyarakat,” katanya.

Sharif Musa turut menasihatkan agar perbahasan politik dilakukan secara bertanggungjawab dan berlandaskan fakta serta realiti semasa supaya masyarakat, khususnya pengikut di media sosial, tidak melihat kelemahan hujah yang dibina atas sentimen semata-mata.

“Belajarlah berhujah dengan lebih tepat mengikut realiti politik, hasil pentadbiran dan prinsip perundangan. Politik yang matang memerlukan fakta, bukan persepsi yang dibentuk untuk kepentingan tertentu,” tegas beliau lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO