UMNO Bergerak Berasaskan Strategi, Bukan Sentimen Politik – Shaik Zulsidique

KUALA LUMPUR, 12 Jun – UMNO terus bergerak berlandaskan perancangan yang tersusun dan keyakinan terhadap kekuatan sendiri, bukannya dipengaruhi oleh sentimen politik semasa yang bersifat sementara.

Bendahari Putera UMNO Malaysia, Shaik Zulsidique Merican berkata, parti yang mempunyai sejarah panjang dan pengalaman luas seperti UMNO perlu membuat setiap keputusan berdasarkan pertimbangan strategik demi memastikan kestabilan serta kepercayaan rakyat dapat dikekalkan.

Menurut beliau, politik yang matang tidak boleh bergantung kepada reaksi terhadap isu atau tekanan jangka pendek, sebaliknya memerlukan hala tuju yang jelas dan persediaan rapi dalam menghadapi cabaran semasa.

“UMNO tidak boleh bergerak berdasarkan sentimen, tetapi berdasarkan perancangan yang tersusun dan keyakinan terhadap kekuatan sendiri. Inilah yang membezakan politik matang dengan politik reaktif,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, menjelang pilihan raya negeri termasuk di Johor dan Negeri Sembilan, fokus utama parti perlu diberikan kepada usaha memperkukuhkan organisasi, memperkemaskan gerak kerja serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap agenda pembangunan dan kestabilan yang dibawa UMNO.

Shaik Zulsidique turut menegaskan bahawa dalam suasana politik yang sentiasa berubah, prinsip, konsistensi dan kesiapsiagaan merupakan elemen penting yang perlu menjadi pegangan setiap parti politik.

Katanya, kejayaan sesebuah parti tidak hanya diukur melalui kemenangan dalam pilihan raya, tetapi juga keupayaan untuk mengekalkan kepercayaan rakyat selepas memperoleh mandat.

“Yang penting bukan hanya untuk sekadar menang, tetapi untuk kekal dipercayai selepas kemenangan,” katanya.

Beliau percaya pendekatan yang berteraskan strategi dan perancangan jangka panjang akan membolehkan UMNO terus relevan serta berupaya memenuhi harapan rakyat dalam mendepani cabaran masa hadapan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO