PRN: Rakyat Diseru Nilai Secara Adil Berdasarkan Rekod Dan Pencapaian
JEMPOL, 12 Jun – Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos depan, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir menyeru agar tempoh ketika ini dimanfaatkan sebaiknya oleh rakyat untuk membuat penilaian yang adil, rasional dan berasaskan fakta.
Menurut beliau, PRN bukan sekadar medan persaingan politik, tetapi merupakan ruang penting untuk rakyat menilai semula prestasi, rekod pentadbiran serta kemampuan parti-parti yang pernah dan sedang diberi mandat mentadbir negeri.
“Tempoh menjelang PRN ini seharusnya menjadi ruang muhasabah kepada semua pihak, khususnya pengundi. Nilailah berdasarkan rekod pentadbiran, tahap kestabilan yang ditawarkan, pencapaian yang telah dibuktikan serta kemampuan sebenar parti dalam membawa masa depan yang lebih baik untuk rakyat,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau menegaskan bahawa rakyat Negeri Sembilan kini semakin matang dalam membuat pertimbangan politik, dan tidak seharusnya terpengaruh semata-mata dengan manipulasi, sensasi semasa atau janji-janji baharu yang belum tentu mampu dilaksanakan.
Sebaliknya, katanya, kekuatan sesebuah parti perlu diukur melalui pengalaman mentadbir, keupayaan mengurus ekonomi negeri, serta kesinambungan dasar yang memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat.
Dalam masa yang sama, beliau turut menekankan kepentingan kestabilan politik negeri bagi memastikan agenda pembangunan tidak terganggu, selain menjamin kesejahteraan rakyat terus terbela.
“Negeri Sembilan memerlukan kepimpinan yang stabil dan berpengalaman, agar segala perancangan pembangunan dapat diteruskan dengan berkesan tanpa gangguan ketidaktentuan politik,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, pendekatan politik yang matang dan berasaskan fakta perlu dijadikan asas utama oleh pengundi dalam membuat keputusan pada PRN kali ini, demi memastikan masa depan negeri terus berada pada landasan yang tepat.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos dengan penamaan calon adalah pada 18 Julai dan tarikh pengundian awal pada 28 Julai. – UMNO Online
