PAU 2019 Tampil Kelainan, UMNO Bangkit Dengan Semangat Baharu – SUA

PASIR PUTEH, 30 Nov – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) bagi tahun ini menampilkan kelainan yang tersendiri di samping bangkit sebagai sebuah parti yang mempunyai semangat yang baharu, kata Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa.

Ujarnya, pada tahun ini juga PAU akan fokus kepada menghidupkan Muafakat Nasional sebagai lanjutan daripada majlis menandatangani piagam UMNO dan PAS pada September lalu.

“Jadi kita bawa ke Perhimpunan Agung untuk diperbahaskan lagi oleh perwakilan dan sebahagian ucapan Presiden akan fokus kepada hala tuju Muafakat Nasional, harapan dan menawarkan tawaran-tawaran baru menuju ke Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Selain daripada itu Perhimpunan Agung pada kali ini telah dikembalikan tradisi sebelum-sebelum ini, jika tahun lalu disingkatkan tetapi tahun ini Alhamdulillah UMNO telah pulih dari segi semangatnya, struktur organisasinya dan bangkit dengan semangat yang baru,” katanya kepada media sebaik selesai majlis perasmian Konvensyen UMNO Kelantan 2019 di sini hari ini.

Konvensyen UMNO Kelantan dirasmikan oleh Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ulas Ahli Parlimen Ketereh itu lagi, selain perwakilan dari Bahagian-bahagian, PAU kali ini menampilkan kelainan dengan mengundang badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili rakyat akar umbi, golongan muda dan juga kembali menjemput wakil-wakil negara luar.

“Kita mengundang pemimpin-pemimpin NGO, golongan muda termasuklah ahli Parlimen Belia, pemimpin mahasiswa universiti dalam negara dan luar negara, Majlis Belia Malaysia sampailah ke persatuan nelayan, pemandu teksi, pekebun kecil, peneroka dan sebagainya.

“Jadi ini antara kelainan yang ada pada hari ini. Ini adalah satu refleksi di mana Muafakat Nasional mesti didokong oleh rakyat akar umbi dan terbanyak. Lebih lima ratus jumlah perwakilan itu adalah terdiri daripada pemimpin-pemimpin tersebut.

“Kita juga kembali menjemput wakil-wakil daripada negara sahabat seperti duta dan sebagainya,” katanya lagi.

UMNO juga tambahnya akan lebih terbuka di mana semua perbahasan PAU dibuat secara ‘live’ (langsung) melalui medium Facebook bagi memudahkan semua pihak terutama media dapat membuat liputan secara terus-menerus.

Menjawab mengenai kerajaan ‘pintu belakang’, dengan tegas Annuar berkata tiada istilah ‘pintu belakang’ dalam membentuk kerajaan bagi UMNO kerana yang penting adalah sebuah kerajaan itu mesti didokong oleh rakyat.

Manakala tambahnya lagi, Muafakat Nasional akan menterjemahkan apa yang rakyat mahu serta akan membuat sesuatu berasaskan dokongan yang kuat dari rakyat. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.