Jadikan PRK Tanjung Piai Platform Suarakan Ketidakpuasan Hati Rakyat Kepada PH


TANJUNG PIAI, 14 Nov – Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkata, Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai harus dijadikan platform untuk menyuarakan hati rakyat menolak kepimpinan kerajaan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Jelas beliau, PRK ini juga menjadi satu penanda aras kebangkitan rakyat kepada perpaduan kaum dalam negara ini yang dilihat semakin tergugat di bawah kepimpinan PH.

“Tanjung Piai ini juga harus dijadikan tempat dan Parlimen pertama untuk kita ‘jahanamkan’ PH… Tanjung Piai perlu beri signal kepada seluruh negara bahawa rakyat begitu marah kepada kerajaan PH maka kita harus beri mereka pengajaran.

“Tanjung Piai juga adalah seruan kepada seluruh rakyat negara ini demi masa hadapan dan perpaduan negara,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Zaidi, selama 60 tahun Barisan Nasional (BN) mentadbir negara ini, tidak sekali pun api perkauman cuba dimainkan dan ini terbukti apabila kepimpinan BN dahulu memperkenalkan 1Malaysia yang melambangkan semua kaum dan bangsa hidup aman damai.

“Tetapi belum dua tahun PH mentadbir negara, kita dapat lihat dengan jelas bagaimana mereka cuba menanam bibit permusuhan kaum. Ada sahaja tindakan mereka yang menyinggung kaum lain terutamanya bangsa Melayu.

“Sebab itu Raja-Raja Melayu cuba dicabar, dengan ICERD… dengan bahasa Melayu yang cuba ‘dihakis’, LGBT diperjuangkan dan pelbagai lagi yang melanggar tatasusila cuba diterapkan.

“Maka, para pengundi di Tanjung Piai harus menjadi penggerak kepada kebangkitan suara rakyat. Kenapa di PRK Tanjung Piai? Kerana PRK ini adalah lambang dan bukti BN bersama Muafakat Nasional tidak pernah mengabaikan mana-mana kaum dan bangsa sekalipun,” tegas beliau. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.