PRK Tg Piai: Orang Muda Sokong BN Perkembangan Positif– Ir Hasni

TANJUNG PIAI, 10 Nov – Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Barisan Nasional (BN) Datuk Ir Hasni Mohammad amat berbesar hati apabila orang muda menyatakan hasrat dan berjanji akan memberi sokongan kepada BN.

Komitmen yang diberikan itu katanya sebagai isyarat bahawa kemenangan BN hampir pasti dicapai.

“Sebak juga melihat orang muda meluahkan rasa hati mereka. Bukan mudah saya kira untuk orang muda berbuat demikian kerana kita tahu orang muda ini jiwa mereka kental bukan mudah untuk dipengaruhi, mereka ada pemikiran, pertimbangan sendiri.

“Orang muda yang kita sedia maklum merupakan peratus yang agak tinggi dalam PRK Tanjung Piai ini.

“Kita juga menyedari pilihan raya umum (PRU) yang lalu kekalahan BN adalah kerana orang muda mempunyai bilangan yang ramai dan berdasarkan kajian yang kita buat 63 peratus orang muda tidak bersama-sama dengan BN ketika itu,” katanya di majlis ‘Bikers’ Berselawat Bersama Datuk Seri Najib Razak di bilik gerakan BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup, di sini Sabtu malam.

Turut hadir bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan, juga selaku Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Pengarah Operasi PRK Datuk Jefridin Atan merangkap Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai.

Ir Hasni yang juga Pengerusi BN Negeri Johor turut merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih atas sokongan yang diberikan.

“Hanya Allah sahajalah yang dapat membalas akan jasa budi baik saudara-saudari semua.

“Mudah-mudahan dengan sokongan dan kenyataan yang dibuat itu akan memberi kesedaran baru kepada kepimpinan di semua peringkat bahawa suara orang muda pada hari ini adalah merupakan suara yang amat penting dalam menentukan masa depan negara,” tambah Pengerusi UMNO Negeri Johor itu lagi.

ADUN Benut itu juga mengucapkan terima kasih kepada Najib ketika menjadi Perdana Menteri membawa kemajuan ke negeri Johor dengan wawasannya mahu menjadikan Johor sebagai kuasa ekonomi baru di negara ini dengan pelbagai projek pembangunan.

Sebelum itu, wakil hampir seribu ‘bikers’ Tanjung Piai dan Pontian yang hadir pada majlis tersebut, Hasbullah Yunus mengambil kesempatan memohon maaf kepada Najib yang kini terkenal dengan gelaran ‘Bossku’ dan juga parti atas kekhilafan mereka pada PRU lalu.

“Dengan rendah diri kami ingin memohon maaf kepada Datuk Seri (Najib Razak) di atas kesilapan lalu yakni pada PRU yang lalu ahli kumpulan kami ini telah beralih arah, di atas sebab-sebab mendengar cerita, berita, fitnah-fitnah yang tidak kami tapis dan halusi.

“Jadi jangan percaya kepada media sosial, media cetak atau orang perseorangan yang hendak merosakkan kita.

“Pada saat dan ketika ini, kami semua berikrar kepada Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa semua ahli bikers Pontian dan Tanjung Piai akan sentiasa terus menyokong dan akan menerima keputusan parti letakkan calon pada PRK dan PRU akan datang,” tekadnya yang diakhiri dengan laungan ‘Hidup Barisan’. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.