PRK Tg Piai: BN Fokus Untuk Menang, Cepat Atau Lambat Umum Calon Bukan Isu

KUALA LUMPUR, 29 Okt – Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, cepat atau lambat calon Barisan Nasional (BN) diumumkan bukan satu isu kerana yang pasti BN akan mengetengahkan calon terbaik pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Jelas beliau, fokus utama BN adalah memastikan kemenangan BN.

“Kita akan lawan habis-habisan, itu yang penting. Umum calon BN pula bila-bila masa pun boleh asalkan sebelum hari penamaan. Jadi tarikh itu terpulang kepada strategi BN untuk umum.

“Semalam kalau kita lihat di latar belakang yang disediakan di majlis tu adalah pelancaran jentera PRK Tanjung Piai. Tidak ada sebut pun umum nama calon, jadi itu strategi kami,” ujar beliau kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Ketika ditanya adakah BN yakin untuk menang jelas Ahmad, BN masuk sesuatu PRK setelah mengkaji semua faktor termasuk faktor kemenangan.

“Macam Sandakan kami tidak sertai kerana itu lain keadaannya. Oleh itu apabila kita masuk kami nak menang,” ujar beliau.

Mengulas berkaitan calon PH yang tewas tipis kepadanya pada PRU lalu Ahmad berkata, itu terjadi kerana beberapa faktor.

“Ada sebab tertentu pada PRU-14, iaitu undi yang saya terima di dua PDM dari Tanjung Piai yang mana 5,000 undi masyarakat Cina tidak mengundi saya.

“Sekarang masyakarat Cina sudah berubah, lagi satu 2,000 undi Melayu dikeluarkan ke Tanjung Piai jadi apabila peningkatan 6,000 undi pada beliau daripada 14,000 kepada 20,000 jadi saya hilang 12,000 majoriti. Jadi itu perkara yang berlaku ketika itu,” jelas beliau lagi.

Hari penamaan calon PRK Tanjung Piai akan diadakan pada 2 Nov ini sementara pada 16 Nov hari pengundian berikutan kematian penyandang kerusi itu, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.