Lewat Umum Calon: BN Tolak Dakwaan Belum Ada Kata Putus

 

KUALA LUMPUR, 29 Okt – Ketua pembangkang Ismail Sabri Yaakob menafikan dakwaan kononnya kelewatan Barisan Nasional (BN) mengumumkan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai adalah kerana UMNO dan MCA belum ada kata sepakat.

Jelas beliau, kata sepakat telah ada malah calon juga sudah ada cuma belum masanya untuk diumumkan.

“Tidak adalah… kita tidak umum sebab belum masa untuk kita umum. Sampai masa kita umum, kita akan umum.

“Sebab semalam cuma pelancaran jentera BN sahaja kita tidak mahu buat dua perkara dalam satu masa jadi kita lancarkan jentera dulu baru umum calon.

“Sudah ada kata putus, mungkin umum esok… Presiden dengan Pengerusi Perhubungan BN negeri akan putuskan bila masa yang sesuai,” ujar beliau kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Tambah Ismail, fokus kini adalah untuk memperkukuhkan jentera parti dan kerana itulah pelancarannya dibuat terlebih dahulu.

“Kita lancar jentera dulu dan lepas itu pengumuman akan dibuat tapi tidak perlu besar-besaran sampai macam semalam. Pengumuman cuma nak tentukan siapa yang bertanding tapi yang pasti sebelum 2 November,” jelas beliau.

Beliau turut memberi jaminan bahawa calon BN adalah seorang individu yang muda dan boleh memikul amanah rakyat.

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian penyandangnya Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri akibat serangan jantung pada 21 September lalu.

PRK Tanjung Piai dijangka akan menyaksikan tiga penjuru antara BN, bekas komponennya Gerakan dan PH.

Gerakan hari ini meletakkan Timbalan Setiausaha Agungnya Wendy Subramaniam, 38 manakala PH mempertaruhkan ketua PPBM bahagian itu Karmaine Sardini, 66. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.