PRK Tanjung Piai: Masuk Gelanggang Wajib Menang – Zahid

TANJUNG PIAI, 28 Okt – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sekarang ini BN wajib menang apabila memasuki gelanggang pilihan raya termasuklah bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Menurutnya, ini ditambah berdasarkan kajian dan kehendak rakyat yang mahukan BN kembali mewakili suara-suara mereka di Parlimen setelah Pakatan Harapan (PH) tidak mahu menunaikan janji-janji serta komitmen BN meletakkan calon yang lebih baik daripada PH.

“Kita tidak mahu menang atas kelemahan orang lain. Tetapi apabila kita masuk ke medan peperangan politik seperti ini, kita harus melihat kekuatan dan kelemahan musuh.

“Di dalam hal ini saya merasakan bahawa tidak ada istilah lain apabila kita masuk perang pada 16 Nov nanti, apabila senjata telah dihunus, peluru siap siaga, logistik cukup, semangat meningkat tinggi, kesiapsagaan semua jentera dan pengundi kita adalah untuk kemenangan, masuk gelanggang wajib menang.

“Biarpun kemenangan ini tidak membawa perubahan sama ada kerajaan negeri atau persekutuan tetapi kemenangan ini adalah maruah kepada kita kerana rakyat di Tanjung Piai mahu menghantar satu mesej, satu risalah bahawa jangan ditipu sekali lagi oleh kerajaan satu penggal ini (PH),” tegasnya di hadapan kira-kira tiga ribu jentera BN.

Dr Ahmad Zahid berkata demikian ketika melancarkan jentera BN bagi PRK Parlimen Tanjung Piai, di Bilik Gerakan Utama BN di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Pengerusi BN Negeri Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad yang juga selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dan Pengarah PRK dan Naib-naib Presiden UMNO.

Hadir sama, ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO, kepimpinan UMNO, MCA, MIC negeri dan Tanjung Piai serta PAS kawasan dan negeri.

Ulas lanjut, Presiden UMNO itu yakin dengan komitmen jentera BN, ditambah lagi dengan komposisi gabungan rakan Muafakat Nasional, PAS dan ‘friends of BN’.

“Rakan jentera dari seluruh negara akan bermukim di sini. Tetapi yang penting jentera-jentera tempatan harus bekerja keras dan melupakan perbedaan di kalangan kita.

“Sentimen, perasaan rakyat cukup kuat di bawah. Kita mahu melihat kemenangan berpihak kepada kita. Semangat dan sentimen tidak cukup di kalangan pengundi Melayu, Cina dan India sahaja jika tidak diterjemahkan dalam bentuk kerja keras untuk mendapatkan undi, maka tentunya ianya tidak bermakna,” tambahnya.

Dalam ucapannya juga, Dr Ahmad Zahid berkata sepanjang kempen bermula pada 2 Nov hingga 16 Nov nanti,  banyak lagi pendedahan akan BN bongkarkan kepada rakyat mengenai kepincangan yang telah kerajaan PH lakukan sepanjang mentadbir lebih setahun setengah ini.

Dr Ahmad Zahid turut menyerahkan risalah kepada 27 ketua-ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) setelah menyempurnakan gimik pelancaran. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.