Kerajaan Terbina Atas Fitnah Akan Runtuh Sendiri – Dr Ahmad Zahid

BENTONG, 27 Okt – “Saya pernah sebut berkali-kali, kerajaan yang terbina atas dasar fitnah akan runtuh dengan fitnah mereka sendiri,” ujar Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Jelas beliau, ini terbukti apabila kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) gagal untuk menunaikan janji yang akhirnya membuatkan rakyat sedar mereka sudah tertipu.

“Rakyat sudah sedar dan menyesal tapi kena tunggu beberapa tahun lagi, kena tunggu PRU akan datang.

“Sebab itu kita jangan terhegeh-hegeh cari orang kerana kalau kita kuat orang akan cari kita. Tidak ada rundingan pintu belakang… tidak ada,” tegas beliau ketika berucap merasmikan Konvensyen UMNO peringkat Negeri Pahang hari ini.

Tambah Zahid, kini kita perlu kuatkan parti dan Muafakat Nasional bersama-sama rakan komponen dalam Barisan Nasional (BN) agar rakyat bertambah yakin dengan tawaran baru yang diberikan.

“Sebab itu kita boleh berbeza pendapat tapi ada had. Kalau matlamat untuk kebaikan dan penyatuan maka carilah titik penyatuan bukan perbezaan.

“Tapi bila titik penyatuan ditemui ada yang berusaha mencari titik perbezaan, kita orang lama dalam kumpulan itu jangan curah minyak tapi curah air bagi sejuk bukan bagi panas.

“Dalam situasi itu bila politik berubah tetapi kita harus bersama dalam penyatuan pemikiran, citarasa dan tindakan. Sebab itu saya rasa bila PAS bersama-sama kita, ia satu anugerah Allah tanpa kita lupakan MCA dan MIC,” tambah beliau lagi.

Justeru jelas Zahid, Muafakat Nasional tidak pernah pernah menyebut berkaitan ekstrinizem atau rasis.

“Kita tidak bercakap soal rasis, ekstrinizem… tapi bila kita bercakap soal Islam pihak di sana menganggap kita ekstrim, bila bercakap soal Melayu kita dianggap rasis atau perkauman, bila mereka bercakap hak mereka ia adalah hak asasi manusia.

“Mereka kata hak sama rata. Mustahil sama rata boleh dilaksanakan. Pegangan UMNO dan PAS adalah kesaksamaan, bukan kesamarataan. Ini harus difahami. Sebab itu kita menghargai MCA dan MIC dalam BN,” ujar beliau lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.