Masa Untuk UMNO – PAS Bangun Semula Ketepikan Semua Perbedaan – Dr Zahid

KUALA TERENGGANU, 26 Okt – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan sudah tiba masanya untuk UMNO dan PAS bangun semula dan ketepikan segala perbedaan dan permasalahan yang ada.

Jelasnya Muafakat Nasional menerusi penyatuan ummah antara UMNO dan PAS bukan sahaja memberi manfaat kepada orang Melayu tetapi seluruh kaum dan negara ini.

“Apa yang berlaku di PWTC ketika Setiausaha UMNO dan PAS membacakan deklarasi Muafakat Nasional… ramai yang menitiskan air mata.

“Saya yakin, ramai ahli PAS tidak pernah jejak kaki di PWTC tapi himpunan ummah menyaksikan orang PAS di PWTC… kami ahli UMNO mengalu-alukan ahli PAS untuk memenuhi kompleks PWTC,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Penyatuan Ummah peringkat negeri Terengganu di sini Jumaat malam.

Tambah Zahid, ada hikmah disebalik kekalahan UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu iaitu penyatuan dua parti Islam terbesar di negara ini.

“Ia (kekalahan dalam PRU-14), bukan sekadar takdir tapi satu ketentuan Allah nak turunkan satu pengajaran.. mungkin disebabkan kirafah kesilapan dulu.

“Jadi kita jangan malu untuk belajar dengan PAS…. tidak ada duit buat cara tidak ada duit… jangan malu kutip derma. Sama macam PAS, belajar dengan UMNO cara memimpin… kita perintah selama 61 tahun.

“Lepas PRU-15, kita sama-sama duduk dalam Kabinet. Putrajaya jelas milik kita lepas PRU-15,” ujar beliau.

Zahid turut memperingatkan kepada orang bukan Melayu agar jangan takut dengan Muafakat Nasional yang dimeterai oleh UMNO dan PAS.

“Jangan ada kekuathiran dihati orang bukan Islam terhadap Muafakat Nasional.

“Satu per tiga ucapan Hadi Awang dan saya semasa Muafakat Nasional telah menyebut dengan jelas kita akan jaga kepentingan orang bukan Islam.

“Melalui Muafakat Nasional kita akan terjemahkan kesaksamaan… tapi untuk kita hormati agama mereka, mereka kena belajar hormati agama kita. Kita bukan nak buat kecoh atau huru hara tapi mereka harus belajar bagaimana untuk hormati kita,” tegas beliau. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.