Kepimpinan Dan Ahli UMNO Mesti Terus Perkukuh Perpaduan – Dr Shamsul Anuar

KUALA TERENGGANU, 26 Okt – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah menegaskan kepimpinan dan ahli UMNO di semua peringkat mesti terus memperkukuhkan perpaduan sesama sendiri.

Katanya, perkara ini penting bagi membolehkan UMNO terus kuat dalam menghadapi suasana politik yang semakin mencabar ketika ini.

“Kepimpinan UMNO telah dan sedang mengadakan pelbagai program antaranya Kursus Pentadbiran, Ceramah Penerangan, dan Konvensyen UMNO disemua negeri.

“Maka, ini masa sesuai kita laksanakan apa yang dibincang dan diputuskan dalam program berkenaan. Semua ini penting dalam usaha menggerakkan UMNO kehadapan,” katanya semasa temubual selepas Konvensyen UMNO Negeri Terengganu, hari ini.

Jelasnya, kegagalan Pakatan Harapan (PH) khususnya Perdana Menteri menguruskan ekonomi negara, hubungan antara kaum, kebajikan rakyat dan sebagainya sebenarnya memberi kelebihan kepada parti pembangkang khususnya UMNO untuk bangkit dan diterima semula oleh rakyat.

“Saya fikir, tiada keperluan untuk kita membantu mereka kerana sebagai sebuah kerajaan dipilih rakyat, PH sepatutnya bertanggungjawab kepada semua masalah yang ada dan jika benar tidak mampu elok serahkan semula mandat pada rakyat supaya rakyat dapat memilih semula kerajaan yang benar benar berkeupayaan.

“Dalam situasi ini UMNO-PAS dan rakan-rakan dalam BN sedia mengambilalih”, ujarnya.

Realitinya tegas beliau lagi memang jelas kelihatan, bahawa sokongan rakyat terutama Melayu Bumiputra kepada Kerajaan PH, ternyata semakin menurun.

Namun, katanya, sama ada UMNO dapat atau tidak meningkatkan sokongan atau pengaruh, ia bergantung pada kita sendiri.

“Tidak bermakna secara automatik penurunan sokongan kepada PH akan berpindah atau beralih menyokong kita, kalau UMNO tidak berusaha.

“Oleh yang demikian, saya menyeru kepada semua supaya kita berusaha, untuk menarik mereka yang kecewa dengan PH kembali menyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN)”, katanya.

Tambah beliau kini rakyat sedang memerhati UMNO.

“Dalam keadaan negara yang tidak begitu baik di bawah Kerajaan PH, ramai yang mengharapkan UMNO.

“Oleh itu, kita mesti fokus dan elakkan perkara yang merugikan UMNO. UMNO mesti dilihat kuat”, ujarnya.

Tegasnya lagi, Muafakat Nasional yang dipersetujui bersama dengan PAS mesti direalisasikan bersama di semua peringkat.

“Dalam waktu terdekat ini, kita mesti bekerja kuat untuk memenangkan calon BN di PRK Tanjung Piai. Kemenangan kita amat penting bagai meneruskan kebangkitan UMNO.”

Dalam masa yang sama, beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong turut mengucapkan tahniah kepada UMNO Terengganu atas kelancaran konvensyen negeri tersebut hari ini.

“Saya ucapkan tahniah kepada UMNO Terengganu kerana jelas kelihatan Konvensyen UMNO Terengganu berjalan dengan baik dan saya yakin akan mencapai matlamatnya.” – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.