Isu Komik: Siasat Semua Yang Terlibat Sekalipun Menteri – Zahida


KUALA LUMPUR, 25 Okt – Pergerakan Puteri UMNO mendesak agar pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap semua yang terlibat dalam penerbitan komik propaganda ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ walaupun mereka adalah menteri sekalipun.

Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, jelas bahawa komik Dap ini mempromosi fahaman komunis.

“Kita semua patut desak pihak berkuasa ambil tindakan terhadap semua yang terlibat walau mereka Menteri sekalipun. Ini termasuklah Setiausaha Agung Dap, Lim Guan Eng yang turut memberi ‘kata pengantar’ dalam buku tersebut. Tiada kompromi terhadap isu yang mampu mengganggu gugat kestabilan dan keamanan negara,” tegasnya dalam kenyataan ringkas menerusi laman sosialnya.

Dilaporkan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mewartakan perintah larangan terhadap penerbitan tiga versi bahasa komik tersebut iaitu bahasa Malaysia, bahasa Inggeris dan bahasa Cina dengan warta perintah larangan itu mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

Dalam satu kenyataan, KDN dipetik memaklumkan bahawa perintah ini menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan ini adalah dilarang secara mutlak di Malaysia.

Alasannya, penerbitan tersebut dikenakan perintah larangan kerana terdapat kandungan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan dan mungkin menggemparkan fikiran orang ramai yang antara lain cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme menyebarkan fakta yang salah dan mengelirukan tentang komunis serta mengandungi unsur untuk membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan komunis.

Ia juga boleh menimbulkan keraguan kepada pembaca khususnya generasi muda tentang sejarah Malaysia, seterusnya mempertikaikan usaha serta perjuangan tokoh atau pemimpin negara terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan dan membangunkan negara.

Isu komik ini mula mendapat perhatian apabila tular di media sosial kandungannnya dan mempersoalkan sama ada Menteri Pendidikan memberi kebenaran untuk komik tersebut diedarkan di sekolah menengah kebangsaan dan jenis kebangsaan di negara ini. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.