Dap Ditempelak, Kena Batang Hidung Sendiri Baru Desak Tunai Manifesto?


KUALA LUMPUR, 25 Okt – “Kenapa beliau hanya tumpukan Janji ke-27? Bagaimana pula janji Buku Harapan 1 ke 26 dan 28 ke seterusnya? Kenapa beliau tidak mendesak supaya ditunaikan?” soal Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib dalam satu hantaran di Facebook.

Khusairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim memberi reaksi sedemikian apabila Penasihat Dap, Lim Kit Siang menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) supaya menunaikan Janji ke-27 di dalam Buku Harapan iaitu pemansuhan undang-undang menindas seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Buku Harapan adalah manifesto atau janji-janji PH ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Timbul juga persoalan ulas Khusairi, adakah disebabkan akta tersebut dikenakan terhadap mereka, maka bapa kepada Setiausaha Agung Dap, Lim Guan Eng itu ‘melenting’.

“Kenapa? Sebab terkena batang hidung pemimpin Dap sendiri,” tempelaknya lagi.

Khusairi turut membidas Kit Siang yang mengaku belum lagi membaca komik propaganda partinya tetapi sudah membuat kesimpulan membela ‘Superman’ Hew Kuan Yau.

“Kit Siang mengaku belum lagi membaca komik yang menjengkelkan itu. Tetapi bagaimana beliau ini boleh kata ‘Superman Hew’ tidak mempromosi komunisme dan bersimpati terhadap perjuangan komunis dalam komik bodoh itu?

“Bagaimana beliau begitu yakin bahawa Hew bukan seorang komunis?

“Hanya komunis ada firasat dan tahu gerak geri komunis, dan sedaya upaya mahu melindungi komunis,” dakwanya.

‘Superman’ Hew adalah pengarang komik propaganda Dap ‘Inisiatif Jalur Dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ yang telah diedarkan ke beribu sekolah menengah kebangsaan dan rendah kebangsaan di negara ini.

Walaupun Dap mengatakan tidak terlibat dalam penerbitan dan pengedaran komik kontroversi tersebut, tetapi jelas kelihatan prakata Guan Eng di dalamnya serta Timbalan Menteri Pendidikan dari Dap, Teo Nie Ching juga pernah menerimanya dalam tiga bahasa ketika dikunjungi Hew pada 12 September 2019.

Kementerian Pendidikan pula dalam satu kenyataan mengatakan tidak pernah mengeluarkan kebenaran dan kelulusan untuk pengedaran komik propaganda Dap itu kepada institusi pendidikan termasuk sekolah serta mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah supaya tidak menerima dan membuat edaran.

Dilaporkan juga semalam, Kementerian Dalam Negeri telah mewartakan perintah larangan tiga penerbitan komik propaganda Dap tersebut serta versi bahasa Inggeris dan Cina melalui Warta Kerajaan P.U. (A)288/2019 dan menegaskan, warta perintah larangan itu adalah mengikut Seksyen 7 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

Alasannya, penerbitan tersebut dikenakan perintah larangan kerana terdapat kandungan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan dan mungkin menggemparkan fikiran orang ramai yang antara lain cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme menyebarkan fakta yang salah dan mengelirukan tentang komunis serta mengandungi unsur untuk membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan komunis.

Untuk rekod, pada tahun 2016 lalu ‘Superman’ Hew dalam satu ceramahnya ketika Pilihan Raya Negeri Sarawak menyeru pengundi Cina untuk mengundi calon Melayu Dap supaya boleh menggunakan orang Melayu untuk ‘skrew’ Melayu dan Kit Siang mempertahankan Hew dengan mengatakan ia bukan ucapan yang rasis hanya sedikit kesat. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.