Tolak Ketegangan Kaum, Pemuda BN Ke Akar Umbi Jayakan Nilai Malaysia Sebenar


KUALA LUMPUR, 24 Okt – Pemuda Barisan Nasional (BN) akan turun menjelajah ke akar umbi dalam usaha membantu mengurangkan ketegangan kaum dengan memberikan perspektif yang lebih luhur berkenaan dengan sifat dan nilai Malaysia sebenar.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata Tanjung Piai mungkin akan menjadi pentas pertama hasrat berkenaan malah satu jawatankuasa telah dibentuk dalam memperhalusi serta melicinkan lagi usaha berkenaan yang akan bergerak ke seluruh negara.

Menurut beliau pergerakan itu terpanggil setelah melihat kepada suasana negara hari ini yang menunjukkan tahap ketegangan antara kaum meruncing dan atas dasar berkenaan Pemuda UMNO, MCA dan MIC sebagai satu keluarga dalam BN akan mengadakan pelbagai program untuk bertemu dengan anak muda  menerusi program yang dirangka seperti ‘town-hall’, ceramah, diskusi ilmiah dan sebagainya lagi.

“Kita akan memberikan perspektif yang lebih luhur berkenaan dengan sifat dan nilai Malaysia yang sebenar dan bukannya Malaysia baru yang dijual oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH), yang akhirnya palsu semata-mata dan yang lebih menjadikan negara kita haru-biru, rakyat pelbagai agama dan kaum hidup dalam keadaaan prejudis, skeptikal, berprasangka dan saling tuduh menuduh antara satu sama lain.

“BN yang mempunyai 61 tahun lebih pengalaman mencorakkan negara yang berbilang agama dan kaum… kita hidup stabil, aman dan masyarakat antarabangsa mnengiktiraf sebagai negara yang begitu dihormati serta pernah menjadi Harimau Asia kerana pelabur luar begitu meyakini kestabilan dan keamanan yang ada,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pemuda BN di sini, hari ini. Mesyuarat berkenaan dihadiri semua Ketua-Ketua Pemuda parti komponen setiap negeri.

Tambah beliau kenapa hari ini berlaku sebaliknya dan ianya adalah kerana naratif-naratif yang dibawa kerajan PH ternyata menjanjikan bulan bintang dan menjanjikan harapan kepada kaum masing-masing namun hakikatnya tidak dapat memberikan apa-apa perkembangan positif terhadap keharmonian antara kaum.

“Ini antara komitmen kita yang akan dimainkan secara bersama. Kita pohon supaya kerajaan PH dan pemimpin-pemimpin mereka supaya menghentikan dan mengurangkan kenyataan berbaur perkauman dan ‘racism’,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut memberitahu pergerakan itu akan menawarkan tawaran baru untuk anak muda dan akan diumumkan apabila siap kelak.

“Kita pada hari ini bersetuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa yang akan memperincikan apakah tawaran baru yang akan diberikan kepada anak muda, ‘new deal for Malaysian youth’ dan akan diisytiharkan apabila siap nanti,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.