PRK Tanjung Piai: Pemuda BN Akan Bekerja Secara Maksimum, Berpasukan – Asyraf Wajdi


KUALA LUMPUR, 24 Okt – Pemuda Barisan Nasional (BN) akan bekerja sebagai satu pasukan untuk bergerak secara maksimum dalam usaha membantu parti mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang akan diadakan pada bulan depan, demikian menurut Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Menurut beliau siapa sahaja calon yang akan diumumkan oleh pucuk pimpinan parti, mereka akan bergerak secara maksimum dan ianya adalah komitmen dan iltizam daripada setiap anggota pemuda parti komponen.

“Kita hari ini berbincang dari segi gerak kerja pertama sekali untuk PRK Tanjung Pai yang kami sudah bersedia turun secara maksimum untuk pastikan siapa juga calon diletakkan maka harus dimenangkan dan kami akan kerja sebagai satu pasukan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Pemuda BN yang dihadiri oleh Ketua-Ketua Pemuda parti komponen setiap negeri.

Pada sebelah pagi, Asyraf turut mengadakan mesyuarat Exco Pemuda UMNO Malaysia dan dalam sidang media sejurus mesyuarat berkenaan, beliau menyatakan perkara yang sama dan pergerakan itu telah memperincikan gerak kerja di pelbagai peringkat.

“Pemuda telah memperincikan gerak kerja dan akan menggerakkan seluruh Pemuda UMNO dari seluruh negara yang akan berkampung di sana bermula 28 Oktober ini iaitu dengan pelancaran jentera BN.

“Pemuda UMNO telah pun dibahagikan kepada 27 Pusat Daerah Mengundi (PDM), setiap PDM akan ada bahagian angkat dan ada Exco angkat yang akan menyelaras gerak kerja sepanjang PRK ini,” ujarnya.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 Sept, akibat komplikasi jantung, dan SPR telah menetapkan 2 Nov sebagai hari penamaan calon dan 16 Nov sebagai hari mengundi.- UMNO Online