Pemuda UMNO Persoal Bajet Belia Disalur Melalui YPC


KUALA LUMPUR, 24 Okt – Pergerakan Pemuda UMNO mempersoalkan langkah kerajaan yang memberikan peruntukan bajet 138 juta dalam Belanjawan 2020 untuk pembangunan belia menerusi Kelab Pemuda Belia (YPC) dan bukan melalui Majlis Belia Malaysia (MBM).

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata ini kerana YPC yang baru sahaja ditubuhkan di bawah Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sementara pemimpin-pemimpinnya adalah ketua-ketua pemuda PPBM.

“Yang menjadi persoalannya ialah kalau mereka ikhlas nak bangunkan belia kenapa nak menggunakan YPC, kenapa tidak menggunakan MBM yang telah dimaktubkan dalam Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007, dimana MBM patut diiktiraf oleh kerajaan sebagai satu badan induk yang mewakili pertubuhan-pertubuhan di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pergerakan Pemuda UMNO, di Ibu Pejabat UMNO, di sini hari ini.

Tegasnya, ada 41 pertubuhan belia di bawah MBM termasuklah pertubuhan yang terkenal dan majlis-majlis belia negeri yang ada ratusan cawangan di seluruh negara misalnya, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), pengakap, pandu puteri dan sebagainya.

“Kerajaan yang lepas memang memperkasakan pertubuhan-pertubuhan belia ini. Apa juga program dan agenda pembangunan atau pemerkasaan belia, kerajaan perlu memanfaatkan pertubuhan-pertubuhan belia yang memang mempunyai program-program yang telah dilaksanakan.

“Pertubuhan-pertubuhan ini memang ada di seluruh negara berbanding dengan YPC yang terjerat dalam perang persepsi dimana mereka kebanyakannya adalah ketua-ketua pemuda PPBM dan YPC ini baru saja ditubuhkan.”

Malah beliau juga melahirkan rasa tidak pasti sama ada YPC telah ada di seluruh Parlimen atau tidak dan was-was sama ada ia akan jadi satu platform bersifat parti politik.

“Kita tidak ada masalah belia untuk berpolitik tapi niat itu bersifat partisan sedangkan agenda pembangunan belia jauh lebih besar dan murni sifatnya kalau nak dipolitikkan untuk agenda satu-satu parti sahaja.

“Sebab itu kita mendesak dan menggesa kerajaan mempertimbangkan kembali untuk menyalurkan 138 Juta ini kepada YPC. Seharusnya menjadikan MBM dan pertubuhan-pertubuhan belia yang telah ada untuk dijadikan platform sebagai rakan kongsi dalam pembangunan belia.”

Dalam isu yang lain, beliau turut melahirkan kebimbangan dengan keputusan kerajaan untuk mengurangkan nilai pemilikan bagi kediaman daripada RM1 juta kepada RM600,000 untuk pemilikan asing.

“Ini akan beri kesan kepada anak muda lingkungan 30-an, yang sudah bekerja dan berkeupayaan membeli rumah-rumah yang dibangunkan tapi kalau diturunkan kita bimbang pemaju akan ambil kesempatan memfokuskan pembangunan rumah kepada harga jualan rumah yang lebih terjamin kerana orang luar mampu memilik hartanah,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.