Isu Komik: Tahniah KDN, Desak Dap Disiasat Atas Isu Keselamatan Negara – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 24 Okt – Blok pembangkang mengucapkan tahniah kepada pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana telah mengambil tindakan yang segera dan tegas dalam mengharamkan penerbitan dan pengedaran komik propaganda ‘Inisiatif Jalur Dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’.

Ketua pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan ini adalah selaras dengan usul yang dibentangkan oleh ketua Whip, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan yang disebutkan oleh blok pembangkang sebelum ini.

“Kita memandang amat serius dengan alasan yang diberikan KDN iaitu alasan ianya mempromosikan ideologi komunis serta penyebaran yang salah dan mengelirukan malah membangkitkan rasa simpati terhadap perjuangan komunis serta mengelirukan pelajar tentang perjuangan kemerdekaan.

“Ini alasan dari KDN yang merupakan satu perkara amat serius dalam komik tersebut,” katanya dalam sidang media bersama blok pembangkang di Parllimen hari ini.

Sehubungan itu, katanya, blok pembangkang mendesak pihak kerajaan melalui KDN untuk menyiasat pemimpin Dap atau sesiapa saja yang terlibat dalam penerbitan komik tersebut.

“Kita melihat pemimpin Dap malah parti Dap terlibat secara langsung dalam komik tersebut, dalam penerbitannya, dalam kata pengantar dari Setiausaha Agung Dap sendiri, Lim Guan Eng, malah penyerahan rasmi YB Tan Kok Wai, juga terlibat dalam kata pengantar dan buku ini diserahkan kepada Timbalan Menteri Pendidikan… ada gambarnya. Jadi penglibatan Dap dalam komik ini adalah jelas sekali.

“Seperti kita tahu ideologi komunis diharamkan bersama Parti Komunis selepas kemerdekaan dan perjuangan komunis di negara kita adalah perjuangan bersenjata yang telah mengorbankan banyak nyawa.

“Pembangkang mendesak pihak kerajaan melalui KDN untuk menyiasat pemimpin Dap atau sesiapa saja yang terlibat dalam penerbitan komik ini dan oleh kerana Dap yang berdaftar di bawah Akta Pertubuhan, dan di dalam Akta Pertubuhan adalah salah terlibat dalam kegiatan-kegiatan yang mempromosikan perkara yang bertentangan dengan undang-undang dan yang subversif,” tegasnya yang juga Ahli Parlimen Bera.

Dalam masa yang sama, blok pembangkang turut mendesak agar Akta Pertubuhan meneliti, mengkaji penubuhan Dap dan jika didapati bersalah perlu diharamkan.

“Penglibatan Dap dalam gerakan keganasan juga jelas kerana pemimpin Dap ditangkap kerana terlibat dengan LTTE. Dap ini trendnya adalah terlibat dengan kegiatan keganasan, promosikan kegiatan ideologi komunis yang semuanya akan menjadikan negara kita tidak stabil. Ia boleh dianggap sebagai isu keselamatan negara,” katanya lagi.

Terdahulu, dilaporkan KDN telah mewartakan perintah larangan tiga penerbitan bertajuk ‘Inisiatif Jalur Dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ serta versi bahasa Inggeris dan Cina melalui Warta Kerajaan P.U. (A)288/2019 dan menegaskan, warta perintah larangan itu adalah mengikut Seksyen 7 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301). – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.