PH Selangor Bergolak? Utamakanlah Kebajikan Rakyat – Rizam


KUALA LUMPUR, 23 Okt – Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail menerima dengan hati terbuka sekiranya benar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Mohd Shaid Rosli yang begitu kecewa dengan sikap ADUN Dap dari Pandamaran, Ronnie Liu akan keluar dari kepimpinan kerajaan Negeri Selangor.

Katanya, ini susulan dari kenyataan Ronnie Liu yang mana beliau melahirkan kekecewaan terhadap Tun Dr Mahathir dan menyatakan bahawa PH masih boleh menang tanpa PPBM.

“Saya dihubungi oleh YB Shaid Rosli, ADUN kawasan Jeram yang mana beliau bersedia menjadi pembangkang pada sidang dewan nanti kerana sudah tawar hati dan berasa sangat kecewa dengan kenyataan Ronnie Liu dari parti Dap.

“Beliau juga menyatakan bahawa sudah berasa tawar hati untuk bekerjasama dengan parti Dap itu yang kini dilihat semakin bermuka muka dan sudah menunjukkan wajah sebenar parti Dap yang sejak dulu lagi kita kenal bersifat rasis.

“Saya menerima dengan hati terbuka jika benar YB Shaid Rosli sanggup meninggalkan PH yang sedang berkuasa demi mempertahankan apa yang beliau rasa benar. Ini sangat baik bagi pihak pembangkang menambah ahli untuk proses semak dan imbang dalam pentadbiran kerajaan Negeri Selangor,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tegas beliau yang juga ADUN Sungai Air Tawar, apa yang menjadi keutamaan hari ini adalah segala kepentingan rakyat Selangor yang haruslah diperjuangkan terutamanya kebajikan rakyat.

“Saya yakin dan percaya bahawa jika benar hubungan antara parti-parti di dalam PH bergolak maka itu adalah perkara yang akan melemahkan pentadbiran negeri sebenarnya, kerana apa… kerana mereka semua tidak habis-habis berpolitik dan langsung tidak menumpukan perhatian kepada urus tadbir kerajaan negeri,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.