Pelbagai Peruntukan PH Untuk Tanjung Piai, Ibarat ‘Beli’ Undi Awal


KLUANG, 22 Okt – Ketua UMNO Bahagian Kluang Datuk Md Jais Sarday membidas tindakan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang ‘membeli’ undi awal di Tanjung Piai menjelangnya kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) yang bakal bermula pada 2 November ini.

Tegas beliau yang juga Bendahari Badan Perhubungan UMNO Johor, ini jelas dapat dilihat apabila pelbagai janji dan peruntukan mula disalurkan kepada penduduk Tanjung Piai.

“Ya betul, mereka kerajaan dan kalau peruntukan ataupun ‘dedak’ diberikan sekarang ini tidak menyalahi undang-undang pilihan raya tetapi sikap mereka itu tidak betul.

“Ini langsung tidak menggambarkan politik baru yang mahu diperkenalkan oleh PH. Jika dulu mereka menyelar Barisan Nasional (BN) menggunakan jentera dan peruntukan kerajaan tetapi kini mereka sendiri menggunakan jentera dan peruntukan kerajaan untuk meraih undi sekaligus menutup kelemahan sepanjang mentadbir negara dan negeri sejak Mei 2018.


“Segala janji tidak dipenuhi, harga komoditi (kelapa sawit, getah dan lain-lain) berada pada paras yang paling rendah dalam sejarah negara, mata wang asing jatuh dan macam-macam lagi,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Jais, semasa pentadbiran BN, negara pernah menghadapi masalah ekonomi namun kerana pentadbiran yang bagus, rakyat masih ada pendapatan dan boleh berbelanja.

“Tapi sekarang, ekonomi negara berada pada paras yang paling teruk berdasarkan tukaran wang asing dan kedudukan bursa saham malah ekonomi rakyat pun teruk… kurang pendapatan kerana harga komoditi turun dan tiada bantuan kerajaan, ada juga yang tiada pendapatan kerana hilang pekerjaan pekerjaan,” jelas beliau.

Justeru beliau berharap agar rakyat di Tanjung Piai berwaspada dan jangan mudah untuk mempercayai janji yang ditabur memandangkan PH telah mempunyai ‘track-record’ terbaik dalam memungkiri janji.

Untuk rekod, PRK Tanjung Piai diadakan berikutan penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, meninggal dunia di Hospital Pontian, 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Dr Md Farid, 42, memenangi kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan majoriti 524 undi selepas menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (Pas).

Setelah pengumuman tarikh untuk PRK Tanjung Piai, pemimpin kerajaan mula memberi perhatian di kawasan tersebut.

Terdahulu, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun telah mengumumkan pemasangan 264 lampu jalan kampung di kampung-kampung dalam Parlimen Tanjung Piai serta geran berjumlah RM230,000 untuk Ketua-Ketua Kampung.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq pula berjanji untuk memenuhi ‘permintaan Allahyarham Farid’ dengan mengumumkan peruntukan RM4 juta bagi menaiktaraf kemudahan sukan di Tanjung Piai.

Dalam masa yang sama, Menteri Pertanian Salahuddin Ayub pula memberi peruntukan RM 3 juta bagi menaiktaraf dan membina semula tiga jeti nelayan di Jeram Batu, Sungai Boh dan Pengkalan Penghulu dalam kawasan Parlimen Tanjung Piai. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.