Kerajaan PH Pekak, Tuli, Bisu… Itu Maksud Penasihat PM – Dr Puad


KUALA LUMPUR, 22 Okt – “Jawapan saya mudah. Itu maknanya, kerajaan PH (Pakatan Harapan) sudah tidak boleh dinasihati. Pekak, tuli dan bisu,” kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Dr Puad memberi reaksi demikian ketika ditanya rakannya maksud ‘kata-kata hikmah’ penasihat media Perdana Menteri (PM), Datuk A. Kadir Jasin di Facebook 20 Okt lalu, “17 bulan sudah berlalu. Masa menasihat sudah tamat. Sekarang ‘hantam’ sajalah.”

Ulas lanjut, Dr Puad berkata oleh kerana Kadir juga adalah penasihat media kepada Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M), itu bermakna beliau juga mengaku gagal menasihati PM.

“Sebagai penasihat komunikasi strategik, memang Kadir gagal mengawal keceluparan mulut Tun M. Tindakan kerajaan India memboikot kelapa sawit Malaysia menyebabkan negara dan pekebun sawit menanggung kesengsaraan.

“CEP (Council of Imminent Person) juga gagal menasihati PM. Ekonomi negara bukan bertambah baik tetapi bertambah parah. Sebab itu CEP dibubarkan.

“Dalam Bajet 2020, defisit meningkat kepada 3.2 peratus. Hutang negara terus naik mendadak. Ringgit dan bursa saham menjunam,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook.

Tambah Dr Puad, bukan sahaja Tun M tidak boleh dinasihati, tetapi Tun M sendiri tidak boleh menasihati menteri kabinetnya.

“Penyakit Tun M telah berjangkit kepada menteri-menteri PH yang semakin ‘bungol’.

“Perdana Menteri memperlekehkan menterinya dalam isu kereta terbang. Tun M kata, macam mana nak buat kereta terbang, terpaksalah polis terbang untuk kawal lalu lintas yang sesak.

“Kalau menteri pun kena ‘hantam’ oleh Perdana Menteri, maka pendirian Kadir Jasin itu adalah betul,” katanya.

Jelas bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas itu lagi, itu sebabnya Kadir turut menghentam Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang dulu dipujinya melangit.

“Pada beliau kebodohan Loke bercakap sesuka hati di depan ‘Fund Managers’ menyebabkan saham MAHB (Malaysia Airports Holdings Berhad) jatuh teruk.

“Tindakan Loke pada beliau umpama menembak kakinya sendiri dan kepala GLCs (syarikat berkaitan kerajaan).

“Mungkin sengaja untuk menjatuhkan saham MAHB dan orang lain boleh beli dengan harga murah,” ujarnya.

Justeru Dr Puad berpandangan jika menteri-menteri pun ‘hantam’ sajalah, maka apa salahnya rakyat pun ‘hantam’ balik PH.

“Jom kita hantam PH di Tanjung Piai,” gesanya yang merujuk kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai pada 16 November nanti. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.