Semua Pihak Boleh Beri Pandangan Tapi UMNO Ditentukan Oleh Ahlinya Sendiri


KUALA LUMPUR, 21 Okt – Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata semua pihak boleh memberikan pandangan namun akhirnya ahli UMNO sendiri yang akan menentukan kepimpinan parti.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin menyatakan Hishammuddin dan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dilihat sebagai ‘sinar harapan’ untuk melakukan perubahan terhadap kepimpinan UMNO.

“Saya lihat keadaan di luar sana penuh dengan suasana yang umumnya tidak menentu dan rakyat tidak gembira dengan spekulasi dan konspirasi yang berterusan.

“Kita tidak boleh benarkan suasana ketidaktentuan dan kurang puas hati orang ramai membentuk satu suasana di mana konspirasi dan spekulasi menjadi sesuatu yang membelenggu pemikiran ramai di luar sana,” katanya kepada media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Katanya lagi, perkara berkenaan bukanlah boleh dihalang mahupun disekat semudah dijangka.

“Kita tidak boleh sekat tetapi ianya adalah normal dalam keadaan sebegini macam-macam teori dan macam-macam spekulasi tetapi ianya mesti berada di atas bumi yang nyata.

“Jadi isu yang berhubung kait dengan kepimpinan UMNO itu akan ditentukan oleh orang-orang UMNO sendiri. Kita bukan ada pemilihan UMNO esok….

“Jadi kalau itu pandangan dia (A Kadir), dia berhak untuk menyuarakannya tetapi realitinya yang akan menentukan kepimpinan UMNO adalah ahli UMNO sendiri,” tegasnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.