Salahuddin Syok Sendiri Rasa Harga Barang Murah


KUALA LUMPUR, 21 Okt – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kelantan menyeru kepada Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub supaya jangan mengeluarkan kenyataan syok sendiri yang boleh menimbulkan kemarahan rakyat yang merasai keperitan hakikat sebenar harga barang yang melambung dan semakin tidak terkawal.

Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Salahuddin yang menyebut di Parlimen pagi tadi bahawa harga barang keperluan asas di bazar telah berkurangan sehingga 30% berbanding pasar awam.

“Bagi kami, nampaknya YB Menteri seolah-olah tidak pernah turun padang meninjau sendiri harga di pasaran.

“Jangan hanya mendengar maklumat yang tidak tepat daripada pegawai yang hanya ingin mencapai KPI (indeks prestasi utama) mereka di atas kertas sahaja,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Noor Hariri turut memaklumkan kepada Salahuddin bahawa Bajet 2020 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tidak menyebut subsidi diesel diberikan kepada lori pengangkutan yang tentunya menjadi medium utama bagi mengangkut bahan mentah dari ladang dan kilang yang akan memberi kesan signifikan terhadap harga barang keperluan ini.

Tambah Noor Hariri, rata-rata semua rakyat di semua peringkat mengeluh dengan keadaan harga barang keperluan seperti ikan, ayam dan sayuran yang naik dan berubah saban minggu.

“Bantuan khas kepada nelayan dan petani walaupun disebut dalam Bajet 2020 hanya omongan kosong sahaja sebelum ini.

“Rakyat tidak yakin ini juga akan dapat menurunkan harga barang kerana nelayan dan petani ini masih lagi belum menerima insentif tahun 2019 yang lepas,” katanya. – UMNO ONLINE