PH Perlu Utamakan Kestabilan Negara, Bukan Masa ‘Politiking’ – Annuar


KUALA LUMPUR, 21 Okt – Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menekankan bahawa kestabilan politik dan kemakmuran negara lebih utama berbanding ‘politiking’ yang akan memberi kesan kepada masa hadapan.

Katanya, Pakatan Harapan (PH) perlu duduk berbincang sesama mereka untuk memastikan masa depan negara yang lebih baik.

“Apa yang penting bagi saya adalah kestabilan politik, dan polemik berkaitan peralihan kuasa hari ini tidak memberi kesan yang baik kepada negara,” katanya kepada wartawan di lobi Parlimen hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO ditanya berkaitan dakwaan kononnya Ahli Parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein cuba membentuk ‘kerajaan pintu belakang’ dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Rasanya lebih baik kita realistik. Kita kena bezakan antara politik parti dengan masa depan negara.

“Parti politik khususnya PH mesti kurangkan ‘politiking’, hentikan befikir tentang personaliti, ini bukan hanya tentang Anwar Ibrahim yang bakal menjadi Perdana Menteri, ini berkaitan tentang mandat yang diberikan oleh masyarakat terhadap PH dan melaksanakan yang terbaik untuk rakyat.”

Jadi katanya, kestabilan negara yang sangat penting selain daripada keyakinan pelabur luar dan juga polisi yang nak dibuat perlu dilakukan secara betul.

“Dengan pengalaman Tun Dr Mahathir… bagi saya secara peribadi Tun Dr Mahathir perlu kekal selagi mana beliau dapat melaksanakan tugasnya. Kita akan kekal sebagai pembangkang hinggalah ke PRU yang akan datang dan kita masih boleh memainkan peranan sebagai pembangkang … tak ada apa yang tak kena tentangnya tapi apa yang lebih penting ialah rakyat perlu dijaga, ekonomi mesti berkembang, keyakinan pelabur mesti dikenalpasti, semua polisi termasuk bajet yang dikeluarkan oleh kerajaan mesti diterjemahkan kepada yang lebih baik.

“Tak ada maknanya jika PH keluarkan cadangan untuk kemakmuran tapi apa yang nak dikongsi jika tak ada kemakmuran yang dikecapi… perlu dipastikan bahawa kemakmuran itu adalah ekonomi mesti berkembang, peluang pekerjaan yang lebih banyak dan sebagainya.”

Katanya, semua ini tidak akan berlaku dengan sendirinya kerana ia memerlukan kestabilan negara dan pemimpin yang kuat.

“Bagi saya jika Tun Dr Mahathir masih boleh berkhidmat kenapa tidak kekalkan sahaja, dan tentunya Anwar Ibrahim perlu menunggu. Menggunakan nama-nama pemimpin UMNO kononnya sebagai pengganti adalah sesuatu yang bukan baik untuk sesiapa, kadang-kadang mungkin kata orang cuma nak lagakan UMNO sama UMNO sahaja,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.