PH Jangan Seret Institusi Mufti Dalam Politik Kepartian


IPOH, 21 Okt – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) negeri Perak diingatkan supaya tidak membuat tuduhan melulu terhadap Jabatan Mufti sehingga mengheret institusi itu ke dalam kancah politik kepartian.

Tegas kenyataan bersama UMNO dan PAS Perak, tindakan exco kerajaan negeri, Asmuni Awi memanggil Timbalan Mufti Perak, Sahibul Samahah Haji Zamri Hashim dalam isu penganjuran kempen ‘Buy Muslim First’ #BMF dilihat merendah-rendahkan institusi mufti.

“Walaupun pertemuan itu dibatalkan, tetapi arahan awal exco berkenaan membuktikan ada cubaan kerajaan negeri untuk melibatkan institusi mufti ke arah politik kepartian.

“Cubaan ini adalah usaha untuk campurtangan dan ianya mesti dihentikan dengan segera,” gesa Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad dan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam kenyataan tersebut, mereka turut memberi ingatan kepada Asmuni yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (Pan) negeri bahawa Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria pada 10 September lalu sudah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kempen berkenaan dan ia mestilah dihormati oleh semua pihak termasuk kerajaan negeri.

“Perlu diingatkan juga bahawa Jabatan Mufti Perak dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) merupakan dua entiti berbeza.

“Berbeza JAIPk yang diselia oleh Exco Agama, Jabatan Mufti adalah di bawah bidang kuasa Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak Darul Ridzuan,” jelasnya.

Sehubungan itu, cubaan untuk memanggil timbalan Mufti secara terbuka akan dilihat sebagai cubaan mencabar kedudukan majlis berkenaan, tegasnya lagi.

“UMNO dan PAS Perak yakin majoriti rakyat akan bersama-sama dalam mempertahankan integriti dan kemuliaan institusi mufti daripada sebarang cubaan untuk melemah atau mencabar kedudukan Islam,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.