Ideologi Ekstremis Akan Berkembang Jika SOSMA Dimansuhkan – Dr. Najmil


KUALA LUMPUR, 21 Okt – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris menimbulkan persoalan adakah kerajaan Pakatan Harapan (PH) menyokong dan menggalakkan perkembangan ekstremis dan radikalisasi dengan berusaha untuk memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Tegasnya, jika tiada akta kawalan tersebut, keselamatan dan kedaulatan negara terus terancam.

“Apa yang jelas ialah SOSMA kekal relevan untuk membendung aktiviti seseorang atau kumpulan yang mahu mengguling atau melemahkan negara termasuklah keganasan terancang, perasaan tidak setia kepada Yang Dipertuan Agong dan memudaratkan ketenteraman awam.

“Pemimpin PH tidak seharusnya campur tangan dalam isu Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dan SOSMA apatah lagi dengan mengeluarkan kenyataan supaya tahanan ini segara dibebaskan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, isu penangkapan pemimpin Dap dan rakyat Malaysia yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas LTTE itu sering dijadikan sebagai modal politik oleh sebahagian pemimpin PH.

“Sebelum ini, Lim Guan Eng dan Ramasamy dilihat campur tangan dalam isu ini. Kini, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim pula dilihat hendak menjadi jaguh kampung dalam isu LTTE ini.

“Dalam satu kenyataannya, Hassan Karim meminta pihak polis melepaskan tahanan LTTE dan IS kerana (SOSMA) dilihat zalim.

“Kenyataan Hassan Karim bukan sahaja tidak menghormati proses perjalanan undang-undang, malah adalah satu pengkhianat kepada negara kerana di saat pihak polis berusaha menghapuskan ancaman terhadap keselamatan negara, ada pihak yang cuba campur tangan,” tambah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu itu lagi.

Ulas lanjut, Dr. Najmil amat hairan melihat sikap pemimpin PH yang suka untuk memansuhkan semua undang-undang di mana sebelum ini, mereka begitu agresif hendak memansuhkan Akta Hasutan dan kini hendak memansuhkan SOSMA pula.

Justeru itu katanya, kerajaan PH wajib ditumbangkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai sebagai hukuman kepada sebuah kerajaan yang gagal mentadbir negara dan kini sedang memberi ruang kepada ideologi ekstremis untuk berkembang di Malaysia. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.