Pengkhianat Parti Harus Dibuang Dari Senarai Keahlian UMNO – Johari


KUALA LUMPUR, 20 Okt – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, sudah tiba masanya UMNO melakukan pemutihan terhadap senarai keahlihan yang kini telah ‘melompat’ parti.

Jelas beliau, nama-nama pengkhianat parti ini perlu dikeluarkan daripada senarai keahlian.

“Kita harus menghapuskan pengkhianat-pengkhinat yang enggan keluar daripada parti meskipun telah menyertai parti lawan.

“Sudah tiba masanya kita terpaksa membuat pemutihan terhadap keahlian kita. Saya dapati ada bekas-bekas ketua bahagian di Wilayah Persekutuan ini yang pernah menjadi Senator yang telah jadi wakil rakyat telah masuk parti lawan tapi kita masih simpan nama dia dalam UMNO.

“Bila kita beritahu dia cakap kita nak tengok bukti, bukti apa… takkanlah kita nak pergi ambil bukti-bukti ini nak jumpa dengan parti-parti lawan tersebut keluarkan dia punya pendaftaran.

“Sudah cukup kalau kita hantar surat, beritahu ‘confirm’ sama ada dia jadi ahli parti itu atau tidak,” ujar beliau ketika berucap dalam Konvensyen UMNO peringkat Wilayah Persekutuan di PWTC hari ini.

Tambah Johari, terdapat banyak bukti bahawa ramai dalam kalangan ahli UMNO di Wilayah Persekutuan telah melompat parti sejurus UMNO dan Barisan Nasional (BN) tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

“Mereka lompat kerana mereka rasakan UMNO telah berkubur tapi selepas wujud Muafakat Nasional antara UMNO dan PAS, mereka ini mula takut.

“Jadi kita harus ambil tindakan dan buang mereka ini kerana dalam usaha membangunkan parti, kita tidak boleh ada pengkhianat dan jika perkara itu berlaku perjuangan yang dilakukan hanya sia-sia,” tegas beliau. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.