Bajet 2020 Kedah Hanya Rejuvenasi Perancangan Kerajaan Lalu


KUALA LUMPUR, 20 Okt – Bajet 2020 Kedah yang dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menunjukkan bahawa kepimpinan negeri tidak melakukan ‘homework’ teliti tentang ‘demographic’ dan sosio ekonomi penduduk Kedah.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO negeri, Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri berkata bajet itu juga hanya setakat rejuvenasi bajet-bajet yang pernah dibentangkan sebelum ini, cuma untuk menampakkan lebih gah maka ditambah angka-angka dan laporan pembangunan.

“Banyak projek yang sudah diumumkan kerajaan dahulu dan sedang berjalan juga disentuh kembali dalam bajet ini. Bajet juga tidak merencanakan Halatuju merangsang ekonomi dan pengisian untuk prospek pertumbuhan. Tidak jelas apa perancangan bagi merancakkan ekonomi terutama bagi meningkatkan kembali pendapatan negeri akibat kehilangan hasil daripada premium pembalakan.

“Inisiatif bagi atasi isu semasa dan keperluan sebenar dari golongan petani, nelayan, penoreh getah, lebih 71% golongan B40 di Kedah tiada. Sudahlah mereka dikecewakan dengan bajet persekutuan yang meminggirkan golongan berkenaan, bajet negeri pula tidak memberi perhatian langsung kepada golongan berkenaan yang sekarang terbeban dengan pelbagai kesulitan,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Tambahnya lagi tiada juga dinyatakan prospek program yang jelas untuk belia, mahasiswa dan anak muda serta perancangan peluang pekerjaan juga tidak ada butirannya.

Ujarnya walaupun ini kali kelima Mukhriz membentangkan Bajet, beliau masih gagal mengerti landskap bajet bagi Kedah, malahan umpama sekadar pelengkap jadual serta banyak retorik dan gagal ungkap permasalahan sebenar rakyat Kedah.

“Cabaran dan kegetiran untuk hadapi situasi ekonomi kini dan tahun depan yang kian kritikal tidak diperjelaskan. Bajet ini manifestasi kerajaan PH yang lemah, kurang komited, tidak fokus dalam membangun ekonomi dan membentuk kesejahteraan rakyat negeri Kedah.

“Semua projek pembangunan diumum hanyalah replikasi dan penerusan dari projek BN terdahulu. Tiada benda yang baharu dan tiada idea baru untuk hadapi era krisis kemelesetan ekonomi semasa,” tegasnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.