Zahid Sifatkan Perubahan Minda, Sikap Dan Tahap Sokongan Berbeda Di Selangor


SHAH ALAM, 19 Okt – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi optimis parti akan dapat meningkatkan jumlah kerusi untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen melihatkan kepada sikap dan tahap sokongan rakyat Selangor hari ini.

Justeru katanya lima kerusi DUN yang dimenangi UMNO dan satu lagi oleh PAS manakala satu kerusi Parlimen iaitu di Tanjong Karang akan menjadi gerak kerja permulaan untuk kebangkitan semula bagi menterjemahkan harapan rakyat di negeri berkenaan.

“Oleh kerana kini tinggal hanya lima kerusi UMNO untuk DUN dan satu kerusi PAS, jadi permulaan kita adalah untuk melakukan gerak kerja dengan permulaan enam kerusi DUN ini untuk memiliki semula Selangor ini.

“Biarpun sukar namun bukan mustahil untuk dimenangi. Begitu juga untuk Parlimen kita ada satu kerusi sahaja iaitu Tanjong Karang tetapi tidak mustahil untuk jumlah kerusi yang kita perolehi itu sama dengan PRU 12 atau PRU 13 kerana perubahan minda, sikap dan tahap sokongan telah berbeda di Selangor.

“Dan rata-rata rasa kekecewaan itu bukan hanya di kalangan pengundi tetapi di kalangan rakyat keseluruhannya terhadap bukan hanya janji malah apa yang sepatutnya diperolehi rakyat Selangor,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu sebelum itu, beliau merasmikan Konvensyen UMNO Selangor yang diadakan di Bangunan UMNO negeri, di sini.

Tambah beliau lagi itu semua bukanlah satu pendekatan untuk mengambil peluang atas kelemahan orang lain sebaliknya adalah untuk memenuhi kehendak rakyat yang ingin melihat parti bergerak dan ambil alih semula kerana selama ini parti mempunyai ‘track record’ dalam memperjuangkan kehendak-kehendak rakyat.

“Apa yang penting meletakkan harapan dan tawaran baru kepada rakyat Selangor dan seluruh Malaysia bagaimana kerajaan yang baik di dalam PRU akan datang,” ujarnya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berpandangan Datuk Seri Hishammuddin Hussein ikhlas untuk melihat parti terus bersatu padu.

“Saya fikir itu hanya satu perkara yang dituduh kepada Datuk Seri Hishammuddin Hussein…Datuk Hishamuddin tidak begitu , Datuk Hisham ikhlas untuk melihat bahawa UMNO terus bersatu padu dan tentunya semua pihak harus berusaha untuk menggamit kebersamaan parti-parti Islam dan Melayu untuk bekerjasama atas dasar ukhuuwah dan saya mendokong apa yang diusahakan oleh Datuk Hisham dan kita harus bersama-sama untuk menterjemahkan pelaksanaannya,” katanya. –UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.