Konvensyen UMNO Peringkat Negeri Medan Suara Akar Umbi – Ahmad Zahid


SHAH ALAM 19 Okt – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Konvensyen UMNO termasuklah Konvensyen UMNO Selangor yang diadakan hari ini adalah medan terbaik dalam usaha mencari input dan seterusnya menjadi panduan kepada UMNO negeri.

Langkah itu ujar beliau sekaligus memberi peluang kepada UMNO Selangor dalam membuat persediaan dan sebagainya lagi termasuklah untuk perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2019 nanti dan apa yang penting suara akar umbi dapat dibawa ke peringkat negeri dan seterusnya ke peringkat nasional.

“Ramai yang mengatakan tentang muhasabah atau ‘post-mortem’ tetapi jarang rumusan dari muhasabah ini telah dianalisis dan gagal diterjemahkan dalam satu tindakan. Kita harus ‘membedah’ dengan pelbagai usaha.

“Senario politik ini berbeza dan konvensyen ini harus mengupas situasi terkini,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen UMNO Negeri Selangor di Bangunan UMNO negeri, di sini, hari ini.

Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk menegaskan bahawa suasana hari ini berbeza dan harus dianalisis bukan hanya terfokus kepada kumpulan sasaran tetapi isu, tawaran baru dan imej yang harus dihidangkan khusunya masyarakat negeri Selangor.

“Kebencian terhadap kerajaan PH bukan hanya di kalangan orang Melayu malah orang Cina dan India juga benci termasuklah masyarakat lain…Tetapi kita belum yakin adakah kebencian pada PH, mereka suka pada kita…benar mereka benci pada PH sama ada peringkat Negeri mahupun Pusat tetapi mereka belum jatuh hati dan jatuh cinta dengan kita. Kita harus berusaha menterjemahkan rasa kebencian itu dengan rasa kecintaan kepada kita, insya Allah,” ujarnya.– UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.