UMNO Johor Tekad Kekalkan Momentum Kemenangan BN Di PRK Tanjung Piai

JOHOR BAHRU, 18 Okt – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, UMNO Johor telah bersiap sedia bagi berhadapan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Jelas beliau, UMNO Johor akan berusaha mengekalkan momentum kemenangan dalam tiga PRK sebelum ini iaitu di Cameron Highlands, Semenyih dan juga Rantau.

“Semangat UMNO Johor begitu tinggi untuk menghadapi PRK Tanjung Piai ini. Kita juga tahu kesilapan kita dalam PRU-14 yang lalu dan kita bertekad tidak akan mengulanginya lagi lebih-lebih lagi dalam momentum kemenangan tiga PRK sebelum ini.

“Semua bahagian di Johor ini juga akan menjadi jentera utama untuk digerakkan di Tanjung Piai dan apa sahaja pendekatan yang digunakan oleh PH dalam PRK ini akan kita hadapi sebaik mungkin,” ujar beliau kepada UMNO-ONLINE.

Tambah Hasni, soal calon pula tidak menjadi masalah kerana BN mempunyai ramai calon dan tokoh yang berkaliber untuk diketengahkan.

“Tidak kira calon daripada UMNO ataupun MCA, kita mempunyai calon yang baik untuk diketengahkan tapi apapun ia akan dimuktamadkan oleh pihak tertinggi parti.

“Sudah pasti kaedah perbincangan secara muafakat akan dicapai oleh BN berasaskan kajian yang dibuat di lapangan,” terang beliau lagi.

Kerusi Tanjung Piai kosong selepas Ahli Parlimennya, Datuk Dr Farid Md Rafik, 43, meninggal dunia akibat sakit jantung di Hospital Pontian, baru-baru ini.

Allahyarham yang juga merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bertanding di Parlimen Tanjung Piai atas tiket Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRU-14 lalu dan menewaskan Datuk Wee Jeck Seng daripada MCA. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.