Bajet 2020 Nampak Hebat, Namun Negara Macam ‘Festival’ Jualan Murah


KUALA LUMPUR, 18 Okt – Ahi Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar melahirkan rasa pelik dengan pembentangan Belanjawan 2020 seolah-olah ekonomi negara cukup hebat.

Sedangkan pada masa yang sama ujar beliau negara hari ini seolah-olah ada ‘festival jualan murah’ apabila harta Khazanah satu persatu dijual oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Pada hakikatnya kalau kita tengok bajet bukan main hebat tetapi kalau kita dengar Malaysia ini macam satu festival lelong jualan murah, menjual harta Khazanah dekat RM40 bilion, kalau tidak salah saya satu persatu dijual.

“Jadi macam ‘satu festival’ untuk jualan lelong aset-aset Khazanah menunjukkan kerajaan tidak ada duit, tetapi dalam bajet yang diberikan seolah-olah ekonomi negara hebat sangatlah,” bidasnya.

Beliau berkata demikian pada program ‘Dari Parlimen’ terbitan Penerangan UMNO TV yang membawakan tajuk ‘Belanjawan 2020 Hak Rakyat Memiliki Rumah’ malam tadi. Program ini disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook UMNO-Online.

Soal Noh bagaimana kerajaan dapat memberikan keyakinan sedangkan ekonomi asasnya tidak dapat dinikmati oleh rakyat?

“Tidak boleh dinafikan nilai mata wang kita jatuh, saham kita jatuh… apa yang naik… harga barang yang naik. Lain semua jatuh. Jadi kalau ekonomi asasnya juga rakyat kita merasai dan tidak dapat memberikan keyakinan bagaimana mereka boleh membuat satu bajet yang katanya cukup hebat.

“Sedangkan pada hakikatnya hutang pun bertambah. Baru setahun setengah memerintah dah dekat RM200 bilion dah bertambah kalau tidak silap saya.

“Jadi ini yang rakyat nak kena tengok bahawa bagaimana janji dan manifesto mereka dahulu menipu rakyat. Janji 100 hari pun tidak tertunai kemudian hari ini dengan bajet yang kononya hebat saya ingat ‘hampeh’ jugaklah. Rakyat tidak akan dapat rasai apa yang kerajaan buat,” ujarnya lagi.

Belanjawan 2020 telah dibentangkan Jumaat lalu oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang merupakan tahun kedua kepada Pakatan Harapan (PH) dalam melaksanakan pentadbiran, namun malangnya pengisiannya banyak mengundang kecaman dari pelbagai pihak. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.