Pemimpin PH Patut Tumpu Isu Rakyat, Bukan Hentam Kerajaan Lalu

KUALA LUMPUR 17 Okt – Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman membidas Ahli-ahli Parlimen kerajaan yang masih terus menyalahkan kerajaan lalu sedangkan Pakatan Harapan (PH) sudah lebih setahun menjadi parti pemerintah.

Sebagai contoh katanya, kesalahan 1MDB pun tidak dapat dibuktikan lagi oleh kerajaan hari ini namun mereka menjadikan ia bahan untuk menyalahkan kerajaan lalu dengan berpegang undang-undang rimba.

“Sedangkan kes masih dalam mahkamah tapi mereka (PH) boleh menjadikan ia bahan yang disebut-sebut menyalahkan BN walhal mereka menyalahgunakan kuasa dengan Peguam Negara menarik balik tuduhan beberapa kes yang sedang berjalan, bukannya ikut undang-undang yang ada dalam negara,” katanya kepada UMNO Online.

Tegasnya, sebagai ahli Parlimen, Dewan Rakyat menjadi tempat untuk membawa suara rakyat dan bukannya hanya tahu menyalahkan kerajaan lalu.

“Misalnya Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang sengaja menyebarkan tuduhan terhadap Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam Parlimen.”

Jelas beliau Rayer cuba menunjukkan kesalahan dengan perkara yang tidak betul dan cuba membangkitkan perkara yang sudah jelas diumum oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).

“Ahli Parlimen Jelutong cuba membangkitkan kesalahan Mohamad Hasan membeli sebuah unit kondominium di London.

“Kita kena tahu ketika itu Mohamad Hasan sebenarnya bukan berada dalam kerajaan dan beliau merupakan CEO syarikat Cycle and Carriage iaitu satu syarikat yang mengedar kenderaan berjenama Mercedes Benz.

“Beliau (Mohamad Hassan) menjadi CEO sebuah syarikat besar dan mengurus syarikat tersebut, kita kena faham … beliau bijak dalam perniagaan dan ia memberi pulangan yang lumayan serta dapat membeli kondominium di London.”

Bidasnya, sebenarnya Rayer sengaja cuba menyalahkan UMNO sedangkan PH baru memerintah setahun lebih enggan mendengar keluh resah rakyat.

“Rayer sengaja mengambil kesempatan daripada pembentangan Rang Undang-undang (RUU) baru untuk menembak dan menghentam pemimpin UMNO dan kerajaan lalu,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.