Memalukan! Loceng Dewan Dibunyikan Korum Tidak Cukup

KUALA LUMPUR, 17 Okt – Memalukan! Itu gambaran yang diberikan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob apabila loceng Parlimen terpaksa dibunyikan menandakan Ahli Parlimen tidak cukup bagi meneruskan persidangan.

Jelas beliau, jumlah minimum yang diperlukan hanyalah 26 orang namun itu pun tidak mampu diikuti oleh Ahli Parlimen kerajaan.

“Ini adalah sesuatu yang memalukan dan tidak patut berlaku. Bukan pembangkang sahaja sudah menegur tetapi ada juga Ahli Parlimen kerajaan sendiri telah menegur kerana sejak Isnin, kehadiran Ahli Parlimen amat mengecewakan.

“Apa yang jadi ini adalah sejarah hitam buat Parlimen bila tidak cukup korum untuk bersidang. 26 orang pun tidak ada untuk mendengar perbahasan sedangkan ini perbahasan yang amat penting iaitu tentang bajet.

“Lebih malang sudahlah Menteri Kewangan tidak ada, timbalannya pun tidak ada. Nampaknya seolah-olah Ahli Parlimen dan juga menteri daripada kerajaan tidak berminat untuk hadir di Parlimen,” ujar beliau kepada media di lobi Parlimen.

Tambah beliau, sekiranya Ahli Parlimen kerajaan tidak berminat untuk hadir mendengar perbahasan maka adalah lebih baik Parlimen dibubarkan.

“Kalau sudah tidak berminat dengar perbahasan, tidak berminat berada dalam Dewan, bubar sahajalah Parlimen. Kita lantik Ahli Parlimen yang baru yang lebih berminat untuk hadir,” tegas beliau.

Tepat pukul 4.05 petang tadi, loceng dibunyikan menandakan bilangan Ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat tidak cukup bagi meneruskan persidangan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.