Dakwaan Edar Komik Propaganda… Jika Benar, Pembangkang Bakal Kemuka Usul

KUALA LUMPUR, 17 Okt – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sekiranya benar dakwaan yang mengatakan komik berbentuk propaganda diedarkan di sekolah menengah kebangsaan dan jenis kebangsaan di negara ini benar, maka blok pembangkang akan mengemukakan usul di Dewan Rakyat.

Namun jelas beliau, perkara ini sedang disiasat terlebih dahulu.

“Saya belum dapat maklumat penuh tetapi difahamkan kandungan buku tersebut agak kurang menyenangkan. Kalau kita dapat buku tersebut dan jika ia menyeleweng fakta maka kita akan kemukakan usul di Dewan Rakyat.

“Tapi tunggu minggu depan… kita tengok bagaimana,” ulas beliau di lobi Parlimen ketika ditanya berkaitan buku komik yang bertajuk ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ yang didakwa menyebarkan propaganda politik.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menulis di ‘posting’ media sosialnya yang mempersoalkan sama ada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik memberi kebenaran komik didakwa berbentuk propaganda diedarkan di sekolah menengah kebangsaan dan jenis kebangsaan di negara ini.

Najib turut memuat naik gambar sepucuk surat kebenaran dan beberapa helaian muka surat komik tersebut yang menyiarkan propaganda mengagung-agungkan Dap, memberi bayangan bahawa kerajaan Malaysia hipokrit dalam layanan kepada komunis dan memburuk-burukkan kerajaan lama serta keluarga beliau.

Dalam surat tersebut dinyatakan komik itu adalah pemberian ihsan Muzium Kebudayaan Komik Asia. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.