Bubar Saja Parlimen Jika Peralihan Kuasa Tak Berjalan Lancar – Ahmad

KUALA LUMPUR, 17 Okt – Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan paling mudah bubar saja Parlimen sekiranya peralihan kuasa tidak berjalan lancar.

Katanya, sekiranya peralihan kuasa yang dijangka bakal berlaku pada Mei 2020 daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berjalan lancar maka tidak mustahil isu kerajaan baru UMNO, PAS dan PKR tanpa Dap dan Pan akan timbul semula.

“Sebelum ini Presiden UMNO ada memutuskan bahawa apapun bentuk perancangan kerajaan baru adalah tanpa Dap dan Pan. Itu keputusan awal tapi perkara ini tidak timbul lagi selepas Muafakat Nasional.

“Pada saya selepas Muafakat Nasional UMNO dan PAS lebih bersedia untuk berhadapan dengan pilihan raya. Itu pandangan saya secara peribadi.

“Tetapi jika tidak jelas peralihan kuasa selepas Mei 2020, ada kemungkinan perkara itu akan dibangkitkan semula. Oleh itu apa yang disebut oleh Port Dickson maksima dua tahun perlu dijawab oleh Perdana Menteri,” ujar beliau kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Tambah Ahmad, Tun Mahathir perlu menjawab persoalan tersebut dengan jelas kerana sehingga kini tiada jawapan yang konsisten berkaitan isu ini.

“Tapi yang pasti, sekiranya mahu kami (UMNO) bersama PAS, kami tidak mahu Dap dan PAS tidak mahu Dap dan Pan,” ujar beliau.

Untuk Rekod, dakwaan kerajaan baru ini timbul apabila Ahli Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein didakwa dalang menggerakkan mewujudkan kerajaan baharu tanpa Dap dan Pan namun Hishammuddin menafikan dakwaan tersebut. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.