Daripada Fokus Isu Kashmir Dan Hong Kong, Lebih Baik PH Bawa Isu PTI

BILA komen mengenai pencabulan Kashmir, India balas balik dengan tidak membeli minyak sawit Malaysia.

Kemudian komen minta Ketua Executive Hong Kong, Carrie Lam supaya letak jawatan kerana protes jalanan di Hong Kong. Ini juga pasti bakal mengundang reaksi balas.

Saya faham kita mahu Malaysia dikenali sebagai negara yang berani memberi pandangan di peringkat antarabangsa.

Namun kita perlu tahu bahawa kita terdedah dengan tekanan dalam pasaran terbuka.

Malangnya apa pun reaksi Malaysia langsung tidak membawa apa-apa perubahan dalam isu-isu tersebut.

Yang ada ialah reaksi balas terhadap Malaysia dalam bentuk tekanan ekonomi. Ini menambah bebanan kita di saat ekonomi Malaysia gagal diurus dengan baik oleh Menteri Kewangan.

Kalau kerajaan PH mahu sangat bincang isu antarabangsa, tidak perlu tengok isu yang jauh.

Di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) baru-baru ini, Menteri Luar sepatutnya memberi pandangan kepada YAB Perdana Menteri untuk membawa isu lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah yang sudah menghantui Sabah berabad-abad lamanya. Bukannya isu India dan Kashmir!

Daripada membuat kenyataan mengenai Kashmir, kerajaan PH sepatutnya membawa isu PATI. Isu ini juga melibatkan isu antarabangsa kerana ada kelemahan dasar dan ketidakpedulian negara jiran kita.

Bawalah isu ini ke pengetahuan dunia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan nada lantang dan keras.

Paksa dan beri tekanan kepada negara jiran kita dalam forum antarabangsa untuk turut menyelesaikan isu ini kerana masalah ini berpunca dari mereka.

Kerajaan PH perlu tahu masalah PATI lebih releven dan dekat di hati kami rakyat Malaysia di Sabah dari isu Kashmir yang jauh nun entah di mana!

Datuk Abdul Rahman Dahlan
Ketua UMNO Sabah Bahagian Tuaran
Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia

16.10.19
Kota Kinabalu.