Dakwaan Fitnah Dalam Perbahasan: Ismail Sabri Gesa Guan Eng Tarik Balik

 

KUALA LUMPUR, 16 Okt – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menggesa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng agar menarik balik tuduhannya mengenai dakwaan bahawa perbahasannya mengenai Belanjawan 2020 memfitnah beliau.

Ini kerana tegas Ahli Parlimen Bera itu, apa yang diutarakannya ketika sesi perbahasan Belanjawan 2020 tidak pernah pun menyebut dalam tentang bajet untuk usahawan bumiputera berbanding dengan usahawan Cina.

“Saya terkejut pagi ini apabila saya melihat satu video sidang akhbar daripada Menteri Kewangan yang menuduh saya memfitnah secara jahat apabila saya membangkitkan dalam ucapan saya yang mengatakan usahawan Melayu hanya menerima RM50 juta berbanding usahawan Cina yang menerima RM100 juta.

“Jadi dia beritahu yang usahawan Melayu menerima banyak peruntukan kerana diasing-asingkan berdasarkan kementerian dan sebagainya.

“Saya pun tidak tahu sama ada Menteri Kewangan ada atau tidak ada dalam Parlimen sepanjang perbahasan atau kalau ada mungkin tidur sebab saya tidak pernah pun menyebut dalam ucapan saya tentang bajet untuk usahawan bumiputera berbanding dengan usahawan Cina,” katanya kepada media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Tambah Ismail lagi, pihaknya telah mengedarkan teks ucapannya kepada pihak media sebelum ini dan boleh menyemaknya berhubung perkara berkenaan.

“Saya dah ‘distribute’ ucapan saya kepada media. ‘You all’ boleh ‘check;, tidak ada pun saya ‘mention’ tentang menuduh Menteri Kewangan tidak adil kerana hanya memberikan RM50 juta kepada usahawan Melayu.

“Jadi saya harap Menteri Kewangan kalau dia seorang menteri yang bertanggungjawab menarik balik tuduhan jahatnya kepada saya mengatakan saya memfitnah dia,” ujarnya.- UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.