Kongres Maruah Melayu: MKT UMNO Putus Hantar Wakil Diketuai SUA


KUALA LUMPUR, 3 Okt – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu hari ini memutuskan akan menghantar wakil untuk menghadiri Kongres Maruah Melayu setelah menerima jemputan daripada pihak penganjur program berkenaan.

Menurut beliau Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa akan mengetuai wakil daripada parti terbabit yang akan turut disertai bersama pimpinan lain.

“MT baru menerima jemputan untuk presiden dan ahli MT UMNO hadir ke Kongres Maruah Melayu, maka Majlis Tertinggi telah memutuskan bahawa UMNO akan menghantar wakilnya ke kongres berkenaan yang akan diketuai oleh Setiausaha Agung parti, Tan Sri Annuar Musa dan beberapa pemimpin UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat MKT UMNO, di sini, hari ini.

Menjawab soalan media kenapa beliau tidak menghadiri kongres berkenaan sedangkan PAS menghantar Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Ahmad Zahid menjelas ketidakhadirannya ke program berkenaan adalah disebabkan komitmen awal yang telah ditetapkan sebelum ini.

“Saya mempunyai komitmen awal untuk merasmikan Konvensyen UMNO Melaka dan merasmikan Pemukiman Puteri UMNO Malaysia seluruh negara pada tarikh yang sama. Pada hari berkenaan saya mempunyai dua program yang telah ditetapkan lebih awal,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.