Pilihan Raya Bukan Seperti Takraw, Silap Pilih Tunggu Lima Tahun – Sumali

JASIN, 5 Nov – Pengundi di Negeri Melaka diingatkan supaya tidak mengambil mudah keputusan memilih wakil rakyat kerana pilihan raya bukan seperti permainan takraw atau bola sepak yang pemainnya boleh ditukar pada bila-bila masa sekiranya tidak memenuhi kehendak, kata ADUN Benut, Datuk Mohd Sumali Reduan.

Beliau berkata, kesilapan memilih wakil rakyat membawa kesan sepanjang tempoh lima tahun dan pengundi perlu mempertimbangkan pilihan mereka dengan sebaiknya sebelum membuat keputusan.

“Undi ini kita jangan silap pilih. Kalau kita silap pilih, kita tak boleh nak U-turn lagi. Kita ini bukan kita pilih pemain bola sepak atau takraw.

“Ini bukan kita nak pilih pemain bola sepak, akan suka besok kita boleh buang dia. Tersilap langkah, kita pilih, kita tunggu lima tahun lagi,” katanya.

Terdahulu beliau mengadakan perjumpaan bersama jentera Barisan Nasional (BN) di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Serkam Darat, di sini.

Dalam pertemuan itu, beliau turut mengingatkan jentera supaya menyampaikan mesej berkenaan kepada masyarakat, khususnya golongan muda, agar membuat pertimbangan sewajarnya ketika memilih calon.

Pada masa sama, beliau menyeru seluruh jentera termasuk Wanita dan Puteri supaya terus memperkukuh persiapan serta memberikan sokongan kepada calon BN bagi DUN Serkam, Datuk Azman Abdullah.

“Marilah kita sama-sama berusaha sebaiknya dalam usaha membantu kemenangan calon BN di DUN Serkam dan seluruh Melaka 14 November ini,” ujarnya.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO