Kebebasan Media: Penguatkuasaan Undang-Undang Mesti Bebas Politik Kepartian
KUALA LUMPUR, 5 Nov – Barisan Nasional (BN) menegaskan bahawa sebarang tindakan penguatkuasaan atau sekatan undang-undang mestilah bebas daripada tanggapan perlindungan politik kepartian serta wajib berpaksikan keselamatan negara termasuk undang-undang jenayah siber tulen.
Ahli-Ahli Parlimen BN yang diwakili oleh Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib berkata, kebimbangan awam serta pengamal media massa mengenai implikasi kawal selia yang ketat, amalan sekatan kandungan secara unilateral perlu diberi perhatian.

“Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) tampil menyatakan pendirian yang sangat tegas, matang dan tidak berbelah bahagi mengenai trend kemerosotan kebebasan media serta dinamika kawal selia kandungan dalam talian yang sedang berlaku di negara kita.
“Sebagai sebuah blok politik yang sentiasa mendukung keluhuran undang-undang, kelestarian prinsip demokrasi dan kestabilan ekosistem maklumat, kita tidak boleh memandang sepi terhadap kebimbangan awam serta pengamal media massa mengenai implikasi kawal selia yang ketat, amalan sekatan kandungan secara unilateral, mahupun dakwaan kewujudan sekatan algoritma (shadow ban) ke atas suara-suara kritis.
“Kita harus berani berhadapan dengan data objektif antarabangsa yang dikeluarkan oleh badan bebas. Kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia (RSF) bagi laporan tahun 2026 secara rasminya telah merekodkan penurunan sebanyak 7 anak tangga ke kedudukan ke-95 daripada 180 buah negara.
“Rekod data RSF ini turut menunjukkan penunjuk ekonomi media siber domestik berada pada paras 40.28 mata, manakala penunjuk konteks politik merosot ke 43.00 mata. Angka-angka berwibawa ini merupakan isyarat institusi yang jelas bahawa ekosistem maklumat kita memerlukan semak-imbang yang lebih komprehensif agar tidak menjejaskan kredibiliti kebebasan akhbar dan media,” katanya.
Beliau berkata demikian pada satu sidang media yang diadakan di Parlimen, di sini, sebentar tadi.
Ujarnya, pihak berkuasa wajib memastikan perbezaan takrifan antara kandungan jenayah komersial dengan kritikan politik.
“BN sentiasa konsisten menyokong penuh ketegasan tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama agensi penguatkuasaan dalam menurunkan kandungan penipuan kewangan (scam), pornografi dan judi haram dalam talian demi memastikan perlindungan mutlak pengguna.
“Walau bagaimanapun, bersandarkan Penyata Rasmi (Hansard) Dewan Rakyat bertarikh 28 Oktober 2026 (Muka Surat 20), kementerian telah mengesahkan bahawa daripada 65,680 permintaan penurunan kandungan maklumat palsu dan memudaratkan yang dikemukakan bagi tempoh Januari 2023 sehingga Oktober 2026, sebanyak 56,304 kandungan telah berjaya diturunkan oleh pihak platform.
“Dari sudut perundangan dan ketelusan, angka pemadaman pentadbiran yang mencecah puluhan ribu ini mencetuskan keperluan semak-imbang parlimen yang lebih mendalam. Pihak berkuasa wajib memastikan perbezaan takrifan antara kandungan jenayah komersial (scam/judi) dengan kritikan politik atau perbahasan dasar yang sah di bawah Perlembagaan Persekutuan dipisahkan secara mutlak.
“Pendekatan penurunan kandungan di luar aturan mahkamah sivil hendaklah diminimumkan bagi mengelakkan implikasi salah guna kuasa eksekutif,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut mengingatkan bahawa kuasa kawal selia yang luas yang diberikan kepada MCMC tidak seharusnya mencetuskan kesan ketakutan terhadap industri media.
“Sejajar dengan laporan berkala ketelusan Meta, penyedia platform tersebut mengesahkan sekatan ke atas beberapa kandungan pautan atas pematuhan undang-undang tempatan, termasuk interpretasi aduan terhadap kandungan berasaskan isu ketenteraman awam dan sensitiviti institusi (3R).
“BN menegaskan bahawa sebarang tindakan penguatkuasaan atau sekatan undang-undang mestilah bebas daripada tanggapan perlindungan politik kepartian, dan sebaliknya wajib berpaksikan keselamatan negara dan undang-undang jenayah siber tulen.
“Menjelang penguatkuasaan penuh Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) serta pematuhan peruntukan statutori pelesenan platform, BN mengingatkan bahawa kuasa kawal selia yang luas yang diberikan kepada MCMC tidak seharusnya mencetuskan kesan ketakutan (chilling effect) terhadap industri media.
“Ketetapan liabiliti dan denda tinggi tidak boleh dijadikan instrumen paksaan tidak langsung yang mendesak penyedia platform menapis perbahasan awam demi menyelamatkan kelangsungan lesen komersial mereka,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
