Ahmad Zahid Mulakan Lawatan Rasmi Ke Türkiye, Perkukuh Hubungan
KUALA LUMPUR, 5 Nov – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, selamat tiba di Istanbul, Republik Türkiye bagi memulakan lawatan rasmi selama empat hari bermula hari ini hingga 8 November 2026.
Ujarnya yang juga Presiden UMNO, lawatan rasmi itu bertujuan memperkukuh hubungan dua hala serta memperluas kerjasama strategik antara Malaysia dan Türkiye.

Ketibaan Ahmad Zahid di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul pada jam 3.30 pagi waktu tempatan disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Republik Türkiye, TYT Adlan Mohd Shaffieq.
Menerusi perkongsian beliau di laman Facebooknya, Ahmad Zahid memaklumkan bahawa antara pengisian lawatan tersebut ialah penyertaan dalam TRT World Forum Edisi ke-10 yang berlangsung di Istanbul Congress Centre.
“Insya-Allah, esok saya akan menyampaikan ucapan pada sesi awam dan menjadi salah seorang ahli panel bagi sesi bertajuk ‘Türkiye: From Regional Power to Multi-Regional Actor’,” katanya.
Beliau turut memohon doa agar segala urusan sepanjang lawatan rasmi itu berjalan lancar serta setiap pertemuan yang dirancang dapat membuka lembaran baharu dalam hubungan Malaysia-Türkiye.
“Mohon doakan agar segala urusan sepanjang lawatan rasmi ini dipermudahkan dan setiap pertemuan yang dirancang dapat membuka lembaran baharu dalam hubungan Malaysia-Türkiye, sekali gus membawa manfaat yang berpanjangan kepada kedua-dua negara,” katanya. – UMNO Online
