500 Unit Rumah Kasih Johor Disasar, Rakyat Jadi Keutamaan – Mohd Jafni

JOHOR BAHRU, 5 Nov – Kerajaan Negeri Johor komited memastikan 500 unit Rumah Percuma Johor atau Rumah Kasih Johor (RKJ) dapat direalisasikan tahun ini sebagai usaha membantu keluarga berpendapatan rendah yang berdepan kesukaran mendapatkan kediaman selamat dan sempurna.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor merangkap ADUN Bukit Permai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, penelitian kini tertumpu kepada permohonan bagi kelulusan fasa akhir 2026 melibatkan lima daerah iaitu Johor Bahru, Batu Pahat, Kulai, Kota Tinggi dan Kluang.

Beliau yang mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Rumah Percuma Johor berkata, setiap permohonan dinilai secara teliti dengan mengambil kira keadaan sebenar pemohon, termasuk pendapatan per kapita, jumlah tanggungan serta keadaan kediaman.

“Setiap pertimbangan membawa amanah untuk membantu keluarga yang masih bergelut mendapatkan tempat berteduh yang selamat dan sempurna. Kita bukan sekadar meneliti dokumen, tetapi perlu memahami kesulitan hidup mereka agar bantuan diberikan secara adil dan penuh ihsan,” katanya.

Antara permohonan yang diberi perhatian melibatkan mangsa kebakaran, warga emas yang tinggal bersendirian, keluarga dengan tanggungan orang kurang upaya (OKU) serta penghuni rumah uzur yang memerlukan kediaman lebih selamat.

Menurutnya, penilaian turut berpandukan laporan siasatan Pejabat Daerah, pengesahan lapangan dan ulasan teknikal Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) serta Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ).

Aspek pemilikan tanah, kebenaran pemilik, kesesuaian tapak serta penyambungan bekalan air dan elektrik turut diteliti bagi memastikan pembinaan berjalan lancar dan rumah yang diserahkan benar-benar sedia untuk didiami.

Mohd Jafni menegaskan setiap kelulusan perlu disusuli jadual tindakan dan pemantauan rapi supaya sebarang kekangan dapat diselesaikan segera tanpa menjejaskan kebajikan penerima.

“Rumah yang sempurna bukan sekadar tempat berteduh, tetapi membawa harapan baharu kepada keluarga. Kita mahu anak-anak membesar dengan selesa, warga emas hidup lebih tenang dan keluarga yang ditimpa musibah berpeluang membina semula kehidupan,” katanya.

Beliau turut menghargai kerjasama semua ADUN, Pusat Khidmat ADUN, Pejabat Daerah, penghulu, ketua kampung, PKPJ dan KPRJ dalam memastikan bantuan sampai kepada golongan sasaran.

Jelasnya, usaha itu selari dengan agenda Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menekankan pendekatan dekat dengan rakyat serta penyampaian perkhidmatan berkesan.

“Kemajuan Johor mesti dirasai oleh seluruh rakyat, termasuk keluarga yang paling memerlukan. Keutamaan kita adalah memastikan tiada golongan yang tercicir daripada pembelaan kerajaan,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO