Keupayaan Pengawasan Maritim Diperkukuh Kepada Sistem Lebih Bersepadu
KUALA LUMPUR, 5 Nov – Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sedang memperkukuh keupayaan pengawasan maritim negara daripada pendekatan ‘detect and respond’ kepada sistem yang lebih bersepadu berasaskan pengesanan awal, pengenalpastian sasaran dan tindak balas pantas.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, usaha tersebut dilaksanakan melalui peluasan sistem radar, penggunaan Unmmaned Aerial Vehicle (UAV), pemodenan aset dan peningkatan integrasi maklumat operasi.

“Pada ketika ini, APMM mengoperasikan 15 Remote Sensor Site (RSS) di bawah Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) iaitu 12 RSS di sepanjang Selat Melaka dan tiga RSS di Pantai Barat Sabah. Sistem ini menggunakan radar yang disokong oleh Automatic Identification System (AIS) dan kamera jarak jauh bagi mengesan serta mengenal pasti pergerakan vesel yang mencurigakan.
“Maklumat pengesanan kemudiannya disalurkan kepada kapal dan bot APMM untuk tindakan pintasan. Bagi memperluas liputan pengawasan, kerajaan juga telah meluluskan SWASLA Sabah Fasa II melibatkan Pulau Malawali (RSS) dan Sandakan (Area Control Centre – ACC) di bawah Rolling Plan Pertama (RP1), Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe13), Tahun 2026 dengan proses tender dijangka bermula pada penghujung tahun 2026.
“Bagi perolehan SWASLA Sarawak, peruntukan telah diluluskan di bawah Rolling Plan Keempat (RP4), Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), Tahun 2024 dan cadangan pelaksanaan kajian bagi SWASLA Sarawak tersebut sedang menunggu maklum balas daripada Kementerian Ekonomi.
“Kerajaan turut meluluskan kajian pembangunan SWASLA Pantai Timur Semenanjung Malaysia di bawah RP4, RMK-12 dan proses tender kajian akan dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab menteri di Dewan Rakyat, sebentar tadi.
Tambahnya, APMM turut melaksanakan rondaan berkala menggunakan kapal dan bot serta pengawasan melalui aset udara.
“Kesemua 15 RSS APMM beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dalam kawasan liputan masing-masing. Ini bermakna kawasan yang berada dalam jangkauan sistem tersebut akan dipantau secara berterusan. Walau bagaimanapun, keadaan ini tidak bermaksud keseluruhan perairan negara telah mempunyai liputan radar 100 peratus dan masih terdapat beberapa kawasan yang berada di luar jangkauan radar sedia ada dan menjadi jurang liputan atau ‘blind spot’.
“Bagi kawasan berkenaan, APMM melaksanakan rondaan berkala menggunakan kapal dan bot serta pengawasan melalui aset udara. Pelaksanaan SWASLA baharu di Sabah, Sarawak dan Pantai Timur Semenanjung serta penggunaan UAV juga dijangka akan dapat mengurangkan jurang liputan tersebut secara berperingkat.
“Bagi tempoh 2020 hingga Ogos 2026, APMM telah merekodkan 834 kes penyeludupan dengan nilai keseluruhan tangkapan berjumlah RM257.55 juta. Walau bagaimanapun, bilangan kes tersebut tidak boleh disamakan secara langsung dengan bilangan sindiket yang telah dilumpuhkan sepenuhnya. Ini kerana satu sindiket boleh terlibat dalam beberapa kes, mempunyai beberapa rangkaian serta beroperasi merentasi sempadan dan bidang kuasa pelbagai Agensi.
”Sehubungan itu, keberkesanan penguatkuasaan tidak dinilai berdasarkan jumlah tangkapan semata-mata. Pendekatan Kerajaan adalah untuk memutuskan keseluruhan rantaian penyeludupan termasuk melalui pengesanan dan pintasan, rampasan, siasatan, pendakwaan, perkongsian risikan serta tindakan terhadap rangkaian logistik dan pihak yang menyokong aktiviti tersebut,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa jurang utama yang masih perlu ditangani ialah liputan sistem pengawasan yang belum menyeluruh, keperluan tambahan UAV dan aset udara untuk pemantauan berterusan, kapal berkeupayaan rondaan jarak jauh, aset pemintas berkelajuan tinggi serta sistem C4ISR yang lebih bersepadu.
“Keperluan ini penting kerana keberkesanan pengawasan maritim bukan sahaja bergantung kepada keupayaan mengesan sesuatu ancaman tetapi juga keupayaan untuk mengenal pasti sasaran, menyalurkan maklumat secara pantas dan menggerakkan aset bagi tindakan pintasan.
“Sehubungan itu, Kerajaan sedang menangani jurang tersebut secara berfasa melalui peluasan SWASLA, perolehan aset strategik serta program pemodenan kapal, bot dan sistem operasi APMM.
“Secara keseluruhannya, usaha Kerajaan adalah untuk membangunkan rantaian pengawasan maritim yang lebih bersepadu daripada pengesanan awal, pengenalpastian sasaran dan perkongsian maklumat sehingga kepada tindakan pintasan sekali gus mengurangkan jurang liputan, mempercepat tindak balas dan meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan di perairan negara,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
