PRK Cameron Highlands: Kempen Negatif PH Di Saat Akhir Dibidas


TANAH RATA, 25 Jan – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menyelar cara kempen tidak sihat di saat-saat akhir yang dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, di sini.

Jelas beliau, perkara ini dilakukan semata-mata ingin mengelirukan para pengundi di sini agar tidak mengundi Barisan Nasional (BN) pada hari pengundian yang akan berlangsung esok, 26 Januari.

“Ada beberapa perkara yang meresahkan BN berkaitan kempen bersifat negatif ini. Sebagai contoh, semasa saya berada di Kuala Medang, ada poster yang digantung di merata-rata tempat kononnya hutang kerajaan negeri Pahang yang ditadbir BN berjumlah RM3 bilion. Bagi saya kempen seperti ini sengaja dibuat untuk jadikan rakyat keliru.”

Tegas beliau, soal hutang negeri yang banyak tidak diterangkan secara detail, apakah perkara tersebut kerana angka sahaja yang tidak menggambarkan apa-apa.

“Kalau kita menyelami secara mendalam, angka yang besar melambangkan keprihatinan kerajaan negeri tersebut untuk megambil langkah-langkah membangunkan pmbangungan tertentu bagi rakyat. Saya boleh bercakap begitu sebab sebahagian besar pinjaman kerajaan ini berlaku sewaktu saya menjadi Menteri Luar Bandar dulu kerana kerajaan pusat melancarkan usaha untuk membantu kerajaan negeri bagi mengadakan bekalan air luar bandar.

“Untuk bekalan air luar bandar, kerajaan pusat mengadakan ‘soft loan’ untuk kerajaan negeri agar bekalan air luar bandar ini dapat dilakukan dengan segera.

“Program ini sememangnya kerajaan pusat yang memberikan pinjaman, jadi angka yang besar itu melambangkan betapa negeri Pahang adalah negeri yang besar, tidak sama dengan Selangor atau Perlis.

“Di Pahang kalau kita pergi merata tempat walau agak jauh pasti ada bekalan air bersih yang baik,” ujar beliau secara mendalam kepada UMNO-Online.

Tambah Annuar, negeri Pulau Pinang contohnya, apabila bekalan air hendak diswastakan atau diserahkan kepada agensi tertentu, banyak sekali pinjaman-pinjaman telah disusun semula malah negeri Pulau Pinang adalah antara negeri mendapat benefit hampir RM1 billion.

“Kita tahu bekalan air adalah tanggungjawab kerajaan negeri tapi kita juga tahu kalau setiap negeri buat sendiri secara berasingan ia akan jadi tidak lancar. Sebagai Menteri Luar Bandar yang terlibat dengan memberi pinjaman kepada negeri-negeri, kerajaan Pahang adalah proaktif melabur dengan banyak dan mempunyai keupayaan untuk membayar.

“Jadi saya percaya, banyak isu lain yang boleh digunakan untuk berkempen tetapi tidak perlu berkempen dengan membawa unsur-unsur yang mengelirukan rakyat terutama yang dibuat saat akhir degan harapan memesongkan fikiran rakyat,” jelas beliau.

Selain itu beliau turut membidas bentuk-bentuk ugutan terutamanya kepada Orang Asli.

“Kami menerima aduan Orang Asli diberi tekanan daripada pihak tertentu. Kita juga dapat laporan Tok Batin diberikan tekanan… dipaksa contohnya Dr Mahathir akan berada di Pos Betau (hari ini) dan mereka ini terpaksa dipunggah semata-mata untuk menerima bakul makanan.

“Ini adalah contoh kempen tidak sihat yang sepatutnya tidak berlaku,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.